WALAU DAH TUA GAYUT. TUN M MASIH GAGAHKAN DIRI UNTUK BERTANDING.

 


Nampaknya Tun Mahathir Mohamad agak malu-malu untuk berterus-terang sama ada beliau akan bertanding lagi atau tidak dalam PRU15 akan datang.

“Dalam PRU akan datang, umur saya sudah 97 atau 98 tahun.

“Saya tahu saya sudah tua tetapi saya agak beruntung sebab masih boleh bercakap dengan orang, masih boleh berhujah dan memimpin parti.

“Parti mahu saya bertanding.

“Saya tak fikir saya patut bertanding lagi, tapi saya akan berikan sokongan penuh pada Pejuang,” kata bekas Perdana Menteri itu lagi.


Ehhh…kalau sudah parti yang dipimpinnya sendiri mahukannya bertanding lagi, kenapa pula Tun Mahathir mahu beranggapan sebaliknya?

Bertanding sajalah Tun, jangan kecewakan harapan parti!!

Sebagai Pengerusi Pejuang yang diketahui umum agenda utamanya ialah untuk menghalang Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir tidak sepatutnya ada perasaan malu berterus-terang untuk bertanding lagi.

Bertanding adalah wajib baginya, jika tidak bagaimana untuk beliau menjadi lebih ampuh menghalang Anwar?

Lagi pun, baru-baru ini Tun Mahathir juga ada menyebut bahawa Anwar tidak tahu mentadbir negara.

Jika Anwar yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dianggap tidak tahu mentadbir negara, sudah tentu hanya Tun Mahathir yang pernah menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali saja yang tahu menguruskan negara ini.

Pedulikan soal tua, yang penting negara ini harus dipimpin lagi oleh Tun Mahathir buat kali yang ketiga.

Orang lain semua tidak tahu apa-apa dan tidak layak mentadbir negara ini.

Tambahan lagi, usaha untuk menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri harus diteruskan sehingga ke penghujung usia.

Itulah nanti akan tercatat sebagai pengorbanannya yang paling besar untuk negara dan Tun Mahathir mesti terus menggagahkan dirinya bagi tujuan itu.

Selain itu, Mukhriz Mahathir dua hari lalu turut menganggap masa untuk Anwar menjadi Perdana Menteri sudah pun berlalu.

Dengan masa untuk Anwar sudah berlalu, siapa lagi yang layak jadi Perdana Menteri kalau bukan Tun Mahathir sendiri?

Ini kerana masa untuk Tun Mahathir tidak pernah berlalu dan beliau sentiasa sesuai sepanjang zaman untuk memegang jawatan Perdana Menteri.

Bagi tujuan, Tun Mahathir mesti dan wajib bertanding lagi dalam PRU15 nanti. – ShahbudinHusin 05/01/2021.