Jangan hairan jika PAS tinggalkan Bersatu satu hari nanti, kata Puad


Puad Zarkashi berkata, PAS tahu penyatuan parti-parti Melayu tidak akan tercapai jika ia menyertai dua gabungan politik berbeza.

PETALING JAYA: Jangan hairan jika PAS tinggalkan Bersatu satu hari nanti seperti yang dilakukannya kepada Umno dalam pakatan Muafakat Nasional (MN), kata ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi.

Menurut Puad, parti itu lebih mengutamakan keuntungan politik dan melihat penyatuan ummah hanya sebagai gimik politik.

“Ia bukan mudah tercapai. Sikap PAS hanya mendedahkan tembelang parti itu, iaitu PAS juga ada ‘politicking’,” katanya kepada FMT.

“Ia bukan wadah perjuangan Islam yang tulen. Ia pragmatik. PAS boleh mengubah pendirian mengikut keperluan semasa.

“Sebab itu PAS boleh meninggalkan kawan seperti mana mereka meninggalkan DAP dan PKR,” kata Puad.

Ahad lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menegaskan akan tetap bersama MN dan pada masa sama mempertahankan PN kerana PAS tidak boleh hanya menjalin kerjasama politik dengan Umno bagi memecahkan fahaman asabiah.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed berkata semalam, tindakan PAS ibarat dilema parti itu dalam mengendalikan “urusan poligami”.

Antara Umno dan PN katanya, PAS seolah-olah lupa siapa “isteri dan suami” dalam MN.

Tonggak sebenar pakatan itu adalah Umno, tambahnya, ia berfungsi sebagai “suami”.

Beliau berkata, hal itu terbukti apabila PAS tidak mendapat sokongan kuat, menyorot pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Sarawak yang menyaksikan parti itu tewas dan tidak banyak meraih undi.

Membidas pendirian PAS itu, Puad menyifatkannya sebagai parti dua alam.

“Dalam konteks MN, PAS bukan mahu menjadi orang tengah tetapi ia mahu memastikan tidak ada parti, khususnya Umno, akan menjadi dominan.

“Pendirian ‘play safe’ PAS dalam mengurus kerjasama politiknya dengan Umno dan Bersatu bukan lagi rahsia,” katanya.

Puad berkata, PAS perlu membuat pilihan sama ada mahu bersama Umno atau Bersatu.

Katanya, PAS tahu penyatuan parti-parti Melayu tidak akan tercapai jika ia menyertai dua gabungan politik berbeza.

“Pilih satu antara dua. Tidak boleh berdolak dalik. Tidak ada ‘play safe’.

“Umno tegas tidak akan menyertai PN. Tidak akan ada kerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15),” katanya.

No comments: