Ungkapan Presiden Pejuang Datuk
Seri Mukhriz Mahathir kononnya era kepimpinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH)
Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berlaku dikecam keras Ahli Parlimen Pasir
Gudang.
Hassan Abdul Karim berkata, sebaik baiknya anak Tun Mahathir Mohamad itu mencermin dirinya terlebih dahulu sebelum menyindir Datuk Seri Anwar.
Malah, tegas beliau, bapa Mukhriz, Tun Mahathir merupakan penyebab kepimpinan PH tidak dapat diteruskan dan mengecewakan rakyat.
Katanya, jika Tun menyerahkan kuasa kepada Anwar pada awal 2020 lalu maka PH masih lagi memerintah, krisis politik tidak akan berlaku dan Mukhriz sendiri pun masih kekal sebagai Menteri Besar Kedah.
"Mukhriz elok juga menyedari (bermuhasabah) betapa ramai rakyat biasa, sama ada anggota KEADILAN ataupun bukan; penyokong PH atau pun bukan yang terluka di hati apabila ayahanda beliau bersikap mungkir janji enggan melepaskan jawatan Perdana Menteri yang telah dijanjikan kepada Anwar Ibrahim.
"Cakaplah apa jua yang Mukhriz mahu cakapkan untuk memperkecil dan memperlekehkan Anwar, sebab Anwar Ibrahim berjiwa besar untuk terganggu dengan kata-kata yang Mukhriz lontarkan itu.
"Tetapi saya tidak akan membiarkan pemimpin yang telah berkorban untuk rakyat dan negara, merengkok di dalam penjara lebih 11 tahun lamanya, diperkotak-katikkan oleh seorang ahli politik muda anak bangsawan, yang tidak pernah semalam pun merengkok dalam lokap kerana bersuara untuk rakyat," katanya.
Dalam pada itu, Hassan menyeru supaya Mukhriz melihat sendiri perbezaan di antara beliau dan Anwar yang dianggap telah berlalu zaman kepimpinannya.
Realitinya, Mukhriz hanya memimpin sebuah parti dengan 4 Ahli Parlimen berbanding Anwar yang mempunyai 30 Ahli Parlimen KEADILAN dan 90 Ahli Parlimen PH di belakang beliau.
"Selemah-lemah Anwar yang dikatakan oleh Mukhriz bahawa masanya sudah berlalu, Anwar Ibrahim masih menjadi Presiden KEADILAN, Pengerusi PH dan Ketua Pembangkang di Parlimen.
"Manakala sehebat-hebat Mukhriz beliau tidak dapat melindungi fakta sejarah bahawa dua kali telah dijatuhkan sebagai Menteri Besar Kedah di pertengahan jalan.
"Tak pernah Mukhriz pegang jawatan MB Kedah dari awal hingga ke akhir macam Menteri Besar-Menteri Besar yang lain," katanya lagi.
Tambah Hassan, beliau tidak teruja mahu berkomentar mengenai isu populariti namun apabila Mukhriz berani bersuara celupar dan kurang adab maka Mukhriz perlu menerima kritikan dari pihak lain.
Katanya, tangan yang berani menghunus keris perlulah bersedia untuk tertikam dengan senjata sendiri.