Oleh KHAIDIR AHMAD
(Wartawan Tua)
Hari ini saya menerima panggilan daripada seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, yang meminta saya datang ke IPD Bentong untuk merakamkan keterangan saya.
Saya tanya keterangan untuk kes apa?
Katanya, Pejabat Tanah Bentong sudah membuat laporan polis berhubung laporan bersiri saya itu.
Dan laporan polis itu sekaligus akan “memaksa” saya berkongsi lokasi tanah haram Musang King di Bentong yang saya bongkar kerana sebelum ini saya enggan berkongsi lokasi berkenaan apabila diminta oleh Bahagian Penguatkuasa Pejabat Tanah Bentong, kecuali jika Menteri Besar Pahang dan Pegawai Daerah Bentong sanggup turun padang bersama saya meninjau lokasi berkenaan.
Ini bukanlah kali pertama Pihak Berkuasa Negeri (PBN) Pahang menggunakan Polis untuk “memaksa“ saya berkongsi lokasi kes penerokaan hutan secara haram yang berpunca daripada rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan.
Pada tahun 2007, ketika saya bertugas sebagai Pengurus Berita TV3 Wilayah Timur dan sering membongkar kegiatan pembalakan haram, PBN Pahang juga menggunakan kaedah yang sama terhadap saya.
Malah ketika itu “ugutannya” lebih dahsyat apabila nama Sultan Pahang ketika itu turut digunakan bagi menakut-nakutkan saya supaya menghentikan segera pembongkaran itu.
Inilah negeri saya, Tanah Melayu Pahang yang kuasa politik dan pentadbirannya dikuasai oleh orang Melayu yang sebangsa dengan saya.
Mereka lebih berminat untuk “menutup atau menyorok isu” dengan cara menghentikan “penyampaian atau pendedahan isu” berbanding untuk menyelesaikan isu sebenar yang menjadi kebimbangan rakyat marhaen.
Keterangan gambar:
1. Tahun 2006 - Pembongkaran pembalakan haram di Lembah Tembeling memaksa PBN Pahang menggunakan polis dan nama Sultan Pahang untuk “menghentikan” laporan Wartawan Tua
2. Tahun 2016 - Wartawan Tua dipanggil mengadap Al-Marhum Sultan Pahang selama 4 jam di Istana Pahang susulan pembongkaran isu pembalakan berlebihan di Hulu Tembeling.
3. Tahun 2020 - PBN Pahang sekali lagi menggunakan polis untuk meredakan pembongkaran Wartawan Tua dalam isu penerokaan ribuan ekar tanah haram Musang King di Bentong.
BILAKAH PBN PAHANG MAHU MENGGUNAKAN KUASANYA SENDIRI YANG TERMAKTUB DALAM KANUN TANAH NEGARA UNTUK MEMBAWA PENEROKA TANAH HARAM KE MAHKAMAH DAN MERAMPAS SEMULA KESEMUA TANAH HUTAN SIMPAN KERAJAAN NEGERI YANG SUDAH DITEROKA HARAM ITU?
JANGANLAH NANTI ORANG YANG MELAPORKA KESALAHAN DIKENAKAN TINDAKAN TETAPI ORANG YANG MELAKUKAN KESALAHAN DIBIARKAN BEGITU SAHAJA!