LIHAT PARTI SENDIRI DULU LA ....

 KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak berhak langsung mencampuri soal kepimpinan dalam Pakatan Harapan (PH).

Bahkan, kenyataan beliau yang mendakwa kononnya PH memerlukan kumpulan baru untuk mengambil alih pucuk pimpinan kelihatan begitu canggung dan dangkal, kata Naib Ketua Angkatan Muda Cabang Damansara, Syed Badli Shah Syed Osman.
Menurut beliau, hakikatnya Parti Pejuang sendiri adalah sebuah parti yang sangat lemah dan belum berupaya membuktikan sebarang pencapaian politik setakat ini.
”Mukhriz sendiri ditolak dan dijatuhkan sebagai Menteri Besar Kedah sebanyak dua kali dan ini adalah cerminan kegagalan dan ketidakupayaan beliau untuk memimpin.
”Sebagai seorang pemimpin yang sangat lemah dan gagal, beliau tidak layak langsung berbicara soal kepimpinan parti lain,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau mengulas kenyataan Mukhriz baru-baru ini bahawa Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim bukan lagi calon untuk menjadi perdana menteri kerana masanya sudah berlalu.
Oleh itu, sudah tiba masanya untuk kumpulan baharu mengambil alih kepimpinan PH, kata Mukhriz.
Syed Badli berkata, beliau optimis Parti Pejuang tidak akan mempunyai masa depan yang gemilang jika Mukhriz terus menerajui parti tersebut.
Justeru itu beliau mencadangkan agar Mukhriz membubarkan sahaja Parti Pejuang dan bersara dari arena politik tanah air. – MalaysiaGazette

No comments: