Adakah Azam langgar undang-undang pemilikan saham?


Pada sidang media semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, beliau memberi kebenaran kepada adiknya untuk membeli saham menggunakan akaun perdagangan sahamnya.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti (SC) digesa menyiasat sama ada pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki melanggar undang-undang pemilikan saham apabila beliau membenarkan adiknya menggunakan akaun perdagangan saham miliknya.

Gesaan itu dibuat oleh peguam Rafique Rashid Ali dan M Manoharan serta Ahli Parlimen Subang Wong Chen dan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Pada satu sidang media semalam, Azam, yang juga Ketua Pesuruhjaya SPRM berkata, beliau memberi kebenaran kepada adiknya untuk membeli saham menggunakan akaun terbabit dan perkara ini telah dijelaskannya kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).

Rafique merujuk kepada Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) yang menyatakan akaun sekuriti mestilah atas nama pemilik yang menerima manfaat.

“Sidang media Azam kini mesti tertakluk kepada siasatan oleh Suruhanjaya Sekuriti,” katanya kepada FMT.

Manoharan berkata, seseorang tidak boleh meminjamkan namanya kepada orang lain untuk berdagang saham.

“Ini bermakna ia boleh mengelirukan SC dan mungkin terdapat unsur kesalahan,” katanya.

Wong berkata, Azam patutnya lebih arif daripada membenarkan sesiapa meminjam akaun dagangan sahamnya.

“Kini amat penting untuk menunjukkan dokumen pengisytiharan asetnya kepada Perdana Menteri ketika itu untuk dilihat sama ada beliau mengisytiharkan saham ini.

“Jika ini tidak didedahkan, maka beliau perlu disiasat lebih lanjut,” katanya.

Beliau juga berkata, siasatan dalaman oleh SPRM mengenai perkara itu seperti yang diumumkan semalam tidak akan memuaskan hati rakyat kerana “terdapat isu konflik kepentingan yang jelas”.

Beliau menggesa SPRM membentangkan laporan bertulis mengenai penemuannya kepada Parlimen bagi membolehkan jawatankuasa dwipartisan Ahli Parlimen menelitinya.

Santiago berkata, SC harus memastikan sama ada Azam melanggar SICDA.

“Juga penting untuk diketahui sama ada Azam telah mengisytiharkan asetnya pada 2015 apabila adiknya mula-mula membeli saham itu,” katanya.

Beliau menggesa Perdana Menteri “menyiasat kes ini” bagi menyelamatkan reputasi SPRM.

Santiago turut menyeru agar ketua SPRM baharu dilantik.

“Kita mesti fikirkan kesan ke atas pelabur asing yang merancang untuk melabur di sini.

“Mereka akan melihat kredibiliti agensi antirasuah kita,” katanya.


No comments: