Kenapa bersih nama bos SPRM tanpa siasatan menyeluruh, soal IDEAS

 

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi menggesa Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah mendedahkan dasar atau tatakelakuan yang diguna pakai dalam membersihkan nama Azam Baki daripada sebarang salah laku. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebuah badan pemikir bimbang dengan keputusan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) membersihkan nama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki daripada sebarang salah laku berdasarkan satu mesyuarat sahaja tanpa siasatan menyeluruh.

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dalam kenyataan berkata, keputusan LPPR itu dibuat hanya berdasarkan penjelasan Azam semata-mata.

“Pada pandangan kami, jika kesimpulan itu hanyalah berdasarkan penjelasan Azam, maka LPPR tidak menjalankan tugas dengan betul dan hal ini bukan tindakan contoh yang sepatutnya dilakukan sebuah organisasi ditugaskan sebagai badan utama mengawasi SPRM.

“Kami juga menyesali kelewatan LPPR mengumumkan keputusan mesyuarat tersebut kepada masyarakat awam sejurus selepas mesyuarat berlangsung. Jika LPPR mengadakan sidang media sejurus selepas mesyuarat khas itu berbanding menunggu lebih sebulan, keluh-kesah rakyat berkenaan hal ini dapat dielakkan.”

Terdahulu, Pengerusi LPPR, Abu Zahar Ujang dilaporkan berkata, Azam tidak terbabit dalam salah laku berhubung pembelian saham syarikat, selepas ia berpuas hati dengan penjelasan Azam dan mendapati tiada elemen konflik kepentingan.

IDEAS mendesak LPPR mendedahkan dasar atau tatakelakuan yang diguna pakai dalam membersihkan nama Azam daripada sebarang salah laku.

“Lebih penting lagi, LPPR perlu menjelaskan sama ada Azam memenuhi kriteria pengisytiharan harta berdasarkan pekeliling kerajaan bertajuk ‘Surat Pekeliling Perkhidmatan 2 Tahun 2002 (Pemilikan dan Perisytiharan Harta oleh Pegawai Awam)’ yang memerlukan penjawat awam mengisytiharkan harta mereka.”

Menurutnya, kegagalan memberi penjelasan menyeluruh bagaimana keputusan itu dicapai dengan penuh ketelusan akan menghakis kepercayaan awam terhadap SPRM sebagai institusi penting dalam membasmi rasuah.

No comments: