Kalah teruk PRN Melaka: Rafizi sekolahkan pemimpin PH

 Kalah teruk PRN Melaka: Rafizi sekolahkan pemimpin PH


Pemimpin Pakatan Harapan (PH) harus mengambil iktibar daripada kekalahan gabungan itu dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka baru-baru ini, kata Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Dalam perkongsian Twitter, Rafizi menggesa penyokong PKR dan PH yang masih mengharapkan pentadbiran yang cekap dan amanah tidak berasa terlalu kecewa dengan kekalahan gabungan itu.

“Jangan terlalu sedih dan putus harapan, ada pengajaran baik di sebalik keputusan PRN Melaka.

“Kalau pimpinan PKR dan PH belajar daripada keputusan ini, tolak ego, insya-Allah PRU15 lebih baik,” katanya, memetik Malaysiakini.

Rafizi sebelum ini memberi amaran kepada PH supaya tidak menerima “katak politik” yang berpaling tadah daripada Umno dan Bersatu untuk bertanding PRN Melaka.

Rafizi, yang sedang bercuti daripada tugasnya sebagai naib presiden PKR, turut menolak cadangan supaya dia kembali aktif dalam parti.

“Susah nak betulkan sebab pimpinan yang ada takkan terima pandangan saya.

“Sebab itu lebih baik melahirkan pendapat di luar.

“Berharap saya berusaha sampai mati untuk mereka menang dan dapat jawatan sedangkan mereka tidak berniat menerima pandangan saya; itu tidak adil kepada saya,” kata bekas ahli parlimen Pandan itu, sebagai respons ciapan pengguna Twitter lain.

BN menang besar di Melaka selepas memenangi 21 kerusi dan membentuk kerajaan baru dengan dua pertiga majoriti.

PKR kalah di semua kerusi yang ditandingi, sementara Amanah hanya menang satu kerusi. Manakala DAP hanya menang empat kerusi berbanding lapan yang disandang sebelum ini.

PN pula hanya menang di dua kerusi.


No comments: