Desak pemimpin Bersatu letak jawatan, ini penjelasan Pak Wan

 

Desak pemimpin Bersatu letak jawatan, ini penjelasan Pak Wan.Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof menafikan beliau mendesak tiga pemimpin parti itu meletak jawatan berikutan prestasi hambar parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Katanya, kenyataan yang disebarkan melalui media sosial kononnya dikeluarkan pihaknya itu bersifat fitnah dan berniat jahat kepada dirinya.

“Kenyataan berunsur fitnah itu adalah tanggungjawab pihak yang terdesak dan kecewa serta berniat jahat untuk memecah-belahkan kesatuan pimpinan BERSATU.

“Saya yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah menafikan sekeras-kerasnya ada mengeluarkan kenyataan seumpama itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berdasarkan kenyataan yang tular itu, Mohd Redzuan kononnya mendesak Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua BERSATU Bahagian Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin meletak jawatan.

Kenyataan berkenaan mendakwa, kekalahan teruk Perikatan Nasional (PN) dan BERSATU adalah petunjuk strategi membalas dendam tidak diterima rakyat dan kempen parti itu gagal serta memalukan.

Pada PRN Melaka kelmarin, PN bertanding di semua 28 kerusi dengan 15 daripada mereka adalah calon daripada BERSATU manakala lapan ditandingi PAS dan GERAKAN meletakkan lima calon.

Menurut laporan Berita Harian ,beliau berkata Bagaimanapun, hanya dua calon PN, iaitu Dr Mohd Aleef Yusof dan Dr Mohd Yadzil Yaakub, masing-masing calon kerusi Sungai Udang dan Bemban memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Dr Mohd Aleef memperoleh 6,789 undi, menewaskan Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad daripada Barisan Nasional (BN) yang memperoleh 6,259 undi, Hasmorni Tamby dari Pakatan Harapan (PH) yang mendapat 2,035 undi dan Mohd Zahar Hashim (Bebas) yang memperoleh 471 undi.

Dengan majoriti 530, Dr Aleef membuat kejutan menewaskan Mohamad Ali, iaitu Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu.


No comments: