GESA ISMAIL SABRI PERCEPAT PRU BERMAKNA UMNO TIDAK SABAR MAHU MENUKAR PERDANA MENTERI

 

Sebaik saja menang bergaya dalam PRN Melaka, macam sudah tak sabar lagi UMNO mahu PRU15 diadakan dengan segera.

Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan berkata, beliau sudah pun memberitahu Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob agar menimbang untuk membubarkan Parlimen dalam waktu terdekat ini.

Ini kerana katanya, berikutan kejayaan BN di Melaka, ia adalah keadaan yang cukup baik untuk disusuli dengan diadakan PRU15 pula.

Berkaitan gesaan Mohamad Hasan atau Tok Mat ini, saya sebelum ini pernah menulis bahawa kemenangan BN di PRN Melaka bukanlah kemenangan buat Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Sebaliknya, antara yang utama berhak mendakwa kemenangan itu sebagai kemenangan mereka ialah Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, bekas Perdana Menteri, Najib Razak dan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan selaku Pengarah PRN Melaka.


Ismail Sabri malah akan terus terpencil dengan kemenangan BN secara solo ini kerana beliau sebelum ini bersungguh-sungguh menawarkan diri untuk menjadi pendamai bagi mencari titik kerjasama antara UMNO, Pas dan Bersatu.

Bermakna, idea UMNO mesti bekerjasama dengan Pas dan Bersatu yang cuba diusahakan oleh Ismail Sabri itu langsung tiada harga sekarang ini kerana telah terbukti bertanding solo pun BN mampu mencipta kejayaan cemerlang.

Malah Zahid Hamidi, Najib dan Mohamad Hasan yang sedari awal mempertahan keperluan BN bertanding solo ternyata tidak salah perkiraan dan sedang menjadi pujaan ahli-ahli akar umbi UMNO.

Untuk itu, gesaan Tok Mat agar PRU15 diadakan segera bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.

Ternampak sekarang selepas kejayaan BN di Melaka, UMNO melalui Tok Mat sedang mempromosi kemenangan tersebut untuk agenda yang lebih besar iaitu menukar Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri tidak dilihat mewakili keseluruhan wajah UMNO kerana sejak awal beliau lebih memihak kepada Mahiaddin dan Bersatu berbanding UMNO.

Oleh kerana Zahid Hamidi sedang berdepan perbicaraan di mahkamah, manakala Najib sudah dihukum bersalah dan ada lagi perbicaraan berkaitan 1MDB sedang berjalan, kedua-dua mereka tentu saja tidak sesuai dinamakan sebagai calon Perdana Menteri jika PRU15 diadakan sekarang ini.

Atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Pengarah PRN Melaka yang berjaya mencipta kejayaan cemerlang buat BN, pastinya Mohamad Hasan adalah calon terbaik sekali untuk diketengahkan.

Selain itu, Mohamad Hasan juga mendapat sokongan akar umbi yang lebih kukuh berbanding Ismail Sabri yang kecenderungannya dilihat lebih condong untuk membawa Bersatu bekerjasama dengan UMNO berbanding keyakinan bergerak solo.

Dalam erti kata lain, secara tersiratnya Mohamad Hasan sedang menonjolkan dirinya sendiri untuk menjadi Perdana Menteri menggantikan Ismail Sabri di sebalik gesaannya agar dipercepatkan PRU15 itu.

Jika UMNO atau Mohamad Hasan mahu Ismail Sabri terus dikekalkan sebagai Perdana Menteri, beliau tidak perlu terlalu tergesa-gesa mendesak diadakan pilihanraya dengan segera.

Lagi pun, Ismail Sabri belum lagi mencecah tempoh 100 hari menikmati hari-hari penuh bahagia sebagai orang paling berkuasa di negara ini. – ShahbudinHusin 22/11/2021.

No comments: