PENGARUH DI KALANGAN AHLI DIA ADA...TAPI UNTUK PENGARUHI RAKYAT PAS MAKIN KEHILANGAN SOKONGAN. TUNGGU PULA DIA NAK DAKAP UMNO...

 

PAS masih ada pengaruh tapi berdepan dilema kerjasama, kata penganalisis.





PAS gagal memenangi sebarang kerusi tetapi “melakukan dengan baik” dalam memenangi undi di Melaka, yang bukan merupakan kubu kuat parti itu. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Ia bukanlah penamat bagi PAS berikutan prestasi hambar parti itu dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka yang berakhir baru-baru ini, yang menyaksikan ia gagal memenangi sebarang kerusi.

Pengkaji politik Azeem Fazwan Ahmad Farouk dari Universiti Sains Malaysia berkata, PAS menunjukkan prestasi yang cukup baik dari segi undi yang diterima walaupun negeri itu bukan kubu tradisi parti Islam berkenaan.

Beliau berkata, asas sokongan PAS lebih kukuh berbanding parti lain dalam Perikatan Nasional (PN). Parti itu mempunyai 91 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara, selain 18 kerusi Parlimen, yang mengekalkannya dalam keadaan baik.

Bagaimanapun, tonggak utama PN, iaitu Bersatu berada dalam keadaan tidak menentu memandangkan prestasi buruknya hanya memenangi dua kerusi manakala Gerakan kehilangan semua pengaruhnya apabila tewas dalam PRN itu.

“PAS mempunyai asas politiknya dan mempunyai tapak yang lebih kukuh. Tetapi ia tidak pernah menang di Melaka. Walau apa pun keputusan di Melaka, PAS akan mengekalkan Kedah, Kelantan dan Terengganu pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Azeem, yang merupakan Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa USM berkata, prestasi buruk Bersatu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana ia tidak mempunyai jentera yang kuat di Melaka.

PAS akan kekal berbelah bahagi antara PN dan Umno, yang menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama dengan parti itu tetapi tidak dengan Bersatu. “PAS mahu bekerjasama dengan kedua-duanya. Jadi itu akan menjadi dilema politik mereka,” katanya.

Kemenangan Melaka kekal di Melaka

Azeem berkata, kemenangan besar BN tidak mengejutkan kerana Melaka adalah kubu kuat parti gabungan itu dengan beberapa kawasan memberi sokongan kepada DAP.

Katanya, kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada 2018 (semasa gabungan itu berkuasa dengan memenangi 15 kerusi) adalah satu anomali semata-mata, manakala kemenangan BN pada Sabtu lepas adalah hasil daripada pengundi membuat keputusan untuk “kembali kepada apa yang mereka tahu”.

Azeem turut mengingatkan “keberanian yang ditunjuk” oleh BN untuk mengadakan pilihan raya umum awal. Beliau berkata, sentimen pengundi di Melaka tidak boleh diterapkan di kawasan lain di negara ini.

Peratusan keluar mengundi Melaka adalah rendah pada 66% bukan pengukur yang baik untuk prestasi masa depan BN di peringkat nasional. Pilihan raya umum biasanya akan menyaksikan lebih ramai pengundi keluar, biasanya melebihi 75%.

“Jika BN berasa ia boleh meraikannya, ada sesuatu yang perlu mereka fikirkan. Dinamika berbeza di peringkat nasional. Majoriti orang Cina bersama Pakatan Harapan.

“Jika ahli politik Umno membuat kerja, mereka akan tahu apa yang berlaku di Melaka tidak akan berulang di tempat lain kecuali penambahan beberapa sokongan kecil kepada BN di beberapa kawasan.”

Tidak mungkin BN membuat kebangkitan nasional, terutama di negeri-negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang. Kedua-dua negeri ini di bawah pentadbiran PH.

“Apa yang berlaku di Melaka kekal di Melaka. Anda tidak boleh mengatakan perkara yang sama akan berlaku dalam pilihan raya umum,” katanya.

No comments: