‘Kejar’ pengundi muda atas pagar, PH diberitahu

 

Liew Chin Tong (memakai pelitup muka hitam) bersama pekerja kempen pilihan raya ketika majlis penghargaan di Ayer Keroh, hari ini. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) mesti diberi ‘wajah’ dan ‘isi’ baharu untuk menarik undi golongan muda “atas pagar” daripada Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN), kata pakar strategi DAP, Liew Chin Tong.

Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP itu berkata, partinya mesti memastikan ia menjadi parti kebangsaan untuk semua rakyat dengan mengutamakan pendekatan “Malaysia First”.“Kita perlu mengelak sebarang desakan untuk menjadi parti parokial (berfikiran sempit),” katanya.

Bagi Pakatan Harapan pula, beliau menggesa gabungan itu menjadi satu khemah besar yang dapat menyatukan semua pihak yang menentang politik lama Umno, BN dan PN.

“PH yang diperbaharui mesti menjadi pilihan untuk semua pengundi muda dan atas pagar,” katanya selepas majlis penghargaan untuk tenaga kerja dan sukarelawan kempen di Ayer Keroh.

Katanya, pada PRN Melaka, pengundi muda Melayu yang bencikan Umno atau BN telah beralih mengundi PN, dan bukannya PH.

Liew berkata, PH mengakui kekalahannya dalam pertempuran di Melaka itu, “namun ini tidak bererti ia akan tumpas di medan perang yang lebih besar”.

DAP hanya menang di Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir; Amanah pula memenangi kerusi Bukit Katil, manakala PKR tewas di semua 11 kerusi ditandingi. Gabungan itu telah memenangi 15 kerusi pada 2018.

Liew berkata, PH perlu bangkit daripada kekalahan untuk merangka strategi lebih baik dalam pertempuran akan datang, apatah lagi PRU berkemungkinan diadakan tidak lama lagi. Malah katanya mungkin juga akan ada PRN lagi dalam masa terdekat.

Liew berkata, DAP mengalami kekalahan marginal dengan masing-masing sebanyak 131 dan 200 undi di kerusi bandar, Pengkalan Batu serta Duyong. Parti itu turut kalah 1,116 dan 559 undian di Bemban serta Gadek iaitu kawasan luar bandar.

“Kekalahan itu dikesali namun kita tidak boleh berputus asa. Keputusan (PRN) menunjukkan kita sepatutnya boleh menang dengan sedikit peralihan pengundi atas pagar terutama dalam kalangan golongan muda,” katanya.

No comments: