#MENGKRITIK ANWAR IBRAHIM


Hamdan Taha


Tajuk di atas sahaja tentulah akan menimbulkan kemarahan para penyokong tegar Anwar Ibrahim. Sudah tentu saya akan diserang habis-habisan. 


Saya bukan hendak menafikan kehebatan, ketokohan dan jasa-jasa beliau kepada agama, bangsa dan negara selama ini. Itu sudah sangat banyak dibicarakan orang. 


Saya juga menolak segala cacian dan penghinaan terhadap beliau, termasuk tuduhan liwat terhadapnya dahulu. 


Saya juga kagum dengan ketinggian ilmunya, prinsipnya menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang semakin membarah kini, serta pembelaannya terhadap nasib rakyat marhaen. 


Persoalannya kenapa perjuangan politiknya belum diterima sepenuhnya oleh rakyat, khususnya orang Melayu? 


Pada PRU14, undi Melayu yang memihak kepada PH hanya 27%. PH memerlukan sekurang-kurangnya 35% undi Melayu jika mahu menang solid dalam PRU15 nanti. 


Saya cuma berfikir di luar kotak dan memberanikan diri meluahkan apa yang terbuku di hati. Mungkin kritikan ini boleh dijadikan muhasabah oleh empunya diri dan pendukung PH sendiri. 


Antara kelemahan Anwar Ibrahim ialah:


1. Langkah Kajang gagal kerana buat keputusan tergesa-gesa, tanpa mengambil kira pandangan orang lain. Begitu juga dengan langkah 16 September dan kenyataan terlalu yakin seperti "I have the numbers, formidable and convincing" sehingga beliau dilihat terlalu obses mengejar jawatan PM. Beliau patut mengurangkan membuat kenyataan, terutama dalam hal yang belum pasti dan boleh berubah. 


2. Terlalu obses dengan publisiti dan gelaran "crowd puller", suka sangat dengan pujian dan tepukan gemuruh hadirin. Terdapat juga ucapan retorik yang dianggap "too good to be true" seperti "hari ini kita menang, esok harga minyak turun RM1.50!". Kenyataan seperti "negara ini bukan milik orang Melayu" tidak sepatutnya diucapkan kerana ia menafikan hakikat sejarah dan mengguris hati orang Melayu. 


3. Terlalu percaya kepada musuh politik, tidak membaca muslihat di sebaliknya. Misalnya dengan surat sokongan Zahid Hamid. Dalam politik 1+1 tak semestinya 2. Ia mungkin 3, 10 atau 100, atau boleh jadi -1 (minus one). 


4. Beliau terlalu yakin dan obses pada pandangan dan kekuatan diri sendiri, sehingga meremehkan pandangan orang lain. Beliau seolah-olah mahu semua pengikutnya jadi "Yes Man" belaka. Beliau patut mendengar pandangan orang lain dan membuat keputusan secara konsensus. 


5. Ada kalanya beliau kelihatan bersikap angkuh, sombong dan lupa diri. Contohnya apabila dibebaskan (diberikan pengampunan), ucapannya bernada angkuh apabila mengatakan "lepas ini kita akan ambil Kelantan dan Terengganu". Beliau seolah-olah memperlekehkan pilihan pengundi di kedua-dua negeri tersebut. Ini amat mengguris perasaan orang Pas dan  menyebabkan mereka semakin menjauhkan diri. Beliau seolah-olah lupa jasa Pas membelanya ketika beliau difitnah dua kali sebelum ini. Apa salahnya beliau turut mengucapkan tahniah kepada Pas? 


6. Gagal menjawab tuduhan yang dia membawa fahaman "liberal". Ini berjaya dimanipulasikan oleh musuh politiknya dengan mudah. Ada juga perbuatan beliau, sebagai pemimpin Islam, yang tidak sepatutnya dilakukan seperti menari, menyanyi dan sebagainya. 


7. Anwar dilihat tidak memihak kepada orang Melayu, tetapi sebaliknya  dilihat melebihkan bangsa lain. Contohnya, beliau tidak mengkritik cara kes Adib dikendalikan, kes ratifikasi ICERD dan tidak menegur pendirian rasis DAP yang  menyakitkan orang Melayu, dll. Beliau patut menegur para pemimpin DAP supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang menyinggung orang Melayu. 


8. Selalu melantik orang yang tidak dikenali sebagai pembantu pejabat, pembantu peribadi dan sebagainya sehingga menimbulkan fitnah seperti pelantikan Saiful dan Yusof Rawther dahulu, walhal banyak lagi aktivis mahasiswa dan belia Islam yang boleh direkrut. Pelantikan Setiausaha Politik dan Pengerusi PKR Negeri Perak telah dikritik ramai, termasuk oleh Rafizi Ramli, tetapi tidak dipedulikan oleh beliau, sehingga Rafizi mengundurkan diri. 


9. Dalam pengurusan parti, Anwar tidak mewujudkan struktur parti yang cukup mantap, termasuk melatih kader-kader baharu bagi memantapkan perjuangan, khususnya melalui program latihan. Contohnya, Umno mempunyai kem sendiri untuk melatih ahli-ahlinya, dan menubuhkan "Ketua Sepuluh" atau sekarang dikenali sebagai Jaringan Rakyat (JR) yang turun ke akar umbi menyelesaikan masalah pengundi dan memantau kecenderungan politik mereka sepanjang masa.


10. Beliau kurang menghargai para pendukung tegar parti, termasuk cybertrooper yang bertungkus lumus memenangkan PH. Ketika PH menang di Selangor dalam PRU12 pada 2008 dan menang PRU14 pada 2018, para endukung parti tidak mendapat tempat. Mengurus parti tidak sama seperti mengurus NGO. 


11. Menggunakan bahasa yang terlalu tinggi (bombastik) dan sukar difahami oleh rakyat biasa. Walaupun itu bagus, tetapi apabila bercakap dengan orang biasa, bahasa dan nadanya perlu disesuaikan dengan keadaan dan tahap pemikiran pengundi.


12. Tidak ada usaha konkrit untuk melebarkan pengaruh di kalangan orang Melayu di luar bandar. Beliau patut memberikan tumpuan kepada kawasan Parlimen dan DUN di kawasan dominan Melayu, mungkin antaranya dengan meletakkan bekas pegawai tinggi kerajaan dan swasta Melayu yang dihormati di luar bandar. 


Anwar Ibrahim bukan maksum dan tidak lari daripada kelemahan dan melakukan kesilapan, sehingga tidak boleh dikritik. 


Mungkin banyak lagi kritikan yang boleh dibuat terhadap beliau, terutama oleh orang yang pernah bekerja dengan beliau. 


Para pendukung dan penyokong Anwar dan PH diharap dapat sama-sama bermuhasabah dan mengambil tindakan segera, khususnya sebagai persediaan menghadapi PRU15. Ketepikan ego dan sanjungan yang berlebih-lebihan terhadap beliau.


Jika kritikan tidak dipedulikan, percayalah, Anwar akan selamanya menjadi PM Tepi. 


Bukankah Saidina Umar al-Khattab r. a. pernah menyuruh orang menegurnya jika beliau berbuat salah? 


Maafkan saya kerana berfikir di luar kotak dan sedikit kritis. Ini hanya pandangan jujur saya sebagai pemerhati politik.


BAM AL-HAJ

#OrangKecil

#BacktoBasics

22.8.2021


Pendapat yang baik....


Jentera parti yang bagus bagus dan terbukti bagus semuanya tidak lagi bersama beliau....termasuk lah azmin ali n the geng walaupun boleh di tuduh pengkianat dan sebagainya hakikat pengerak ini sudah tidak bersama anwar dan menjadikan anwar sebagai musuh utama mereka. Ezam dan rafizi n the geng juga adalah kelompok yang di lihat di biarkan juga merugikan anwar ibrahim. Pru ke 15 lebih bahaya lagi kerana oranf melayu umno pas dan bersatu jika tidak bertembung sesama mereka kerusi amanah dan pkr banyak yang akan kalah termasuk lah sg petani dan kulim bandar baru....


Anwar ibrahim saya yakin sukar berubah kerana beliau dan dr m sama sahaja terlalu punya keyakinan pada diri terlalu tinggi....pada hal 2021 2022 nama nama mereka sudah mula tengelam bersama sejarah faktor masa....ini ada kenyataan yang wajib di terima...

No comments: