KALAU TAK PEJA, ISMAIL SABRI PUJUKLAH MAHIADDIN JADI TPM



Selain mungkin sedang sibuk mencalonkan nama menteri-menteri, gabungan PN yang mempunyai jumlah Ahli Parlimen terbesar iaitu 50 dalam kerajaan baru pimpinan Ismail Sabri Yaakob juga pastinya begitu mengidamkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Daripada 50 kerusi itu di mana Bersatu mempunyai Ahli Parlimen paling ramai – 31 orang tentu saja Ahli Parlimen parti itu yang paling layak diberikan jawatan tersebut.

Setakat ini dilaporkan tiga nama bersaing berebut sesama sendiri untuk jawatan itu – Azmin Ali, Hamzah Zainuddin dan Redzuan Mohd Yusof.

Ketiga-tiganya adalah menteri di era kepimpinan Mahiaddin Md Yasin sebelum ini.

Tetapi, mengapa hanya tiga nama itu saja disenaraikan?

Kenapa diketepikan nama Ahmad Faizal Azumu, bekas Menteri Besar Perak yang juga adalah Timbalan Presiden Bersatu?

Apa kurangnya kelayakan dan kemampuan beliau jika dibandingkan dengan Azmin, Hamzah dan Redzuan?

Jika ada yang cuba berhujah bahawa Redzuan paling layak kerana didakwa merupakan pejuang asal sejak Bersatu ditubuhkan, bukankah Ahmad Faizal atau Peja juga merupakan antara yang terawal bersama dengan Bersatu?

Tambahan lagi, dibandingkan dengan Redzuan yang kalah bertanding Naib Presiden Bersatu, Peja sebaliknya menang tanpa bertanding sebagai Timbalan Presiden Bersatu dalam pemilihan lalu.

Dengan pengalaman sebagai bekas Menteri Besar Perak, ditambah kedudukan hireaki tinggi di bawah Mahiaddin dalam Bersatu, beliaulah sebenarnya paling layak digandingkan dengan Ismail Sabri memimpin negara ini.

Selain Redzuan hanya diberi jawatan lantikan dalam Bersatu iaitu Ahli MPT, Azmin dan Hamzah lebih rendah jawatannya dalam Bersatu jika dibandingkan dengan Peja.

Hamzah adalah Setiausaha Agung Bersatu dan Setiausaha Agung PN, sementara Azmin ialah Ketua Penerangan PN – kedua-duanya merupakan jawatan ihsan serta lantikan Mahiaddin semata-mata.

Azmin dan Hamzah juga bukan pejuang asal Bersatu, sebaliknya melompat daripada PKR dan UMNO.

Atas faktor tersebut, adalah sangat wajar dan munasabah untuk Bersatu dan PN menamakan Peja sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baru.

Begitu pun, kiranya Peja dirasakan terlalu muda dan belum sesuai memegang jawatan tersebut, orang yang paling layak sekali ialah Mahiaddin sendiri.

Meskipun beliau bekas Perdana Menteri, tetapi untuk memastikan dasar-dasar kerajaan sebelum ini diteruskan, terutama untuk mengekalkan jenama PN itu sendiri sebagai kesinambungan kerajaan, keberadaan Mahiaddin boleh dikata amatlah penting.

Dengan kedudukannya sebagai Presiden Bersatu, beradanya beliau dalam kerajaan bukan saja lebih memberi kestabilan kepada kerajaan PN, malah merupakan jalan damai antara pemimpin-pemimpin Bersatu yang berbalah mahukan jawatan nombor dua dalam kerajaan itu.

Ismail Sabri dalam hal ini boleh memainkan peranan dengan memujuk Mahiaddin sehabis baik agar setuju berada dalam kerajaan bersama-sama dengannya. – ShahbudinHusin

(SHAHBUDIN HUSIN 22/08/2021.)

 

No comments: