KENYATAAN MEDIA - MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN 23 Ogos 2021

 

Majlis Presiden Pakatan Harapan menjunjung kasih ke atas titah perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong untuk melantik Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang telah dibuat selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kesemua 105 Ahli Parlimen pembangkang yang berdiri bersama mencalonkan YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Port Dickson tempoh hari tanpa kira parti dan perbezaan pandangan politik demi kepentingan rakyat dan negara.

 Majlis Presiden Pakatan Harapan telah mengadakan mesyuarat hari ini dan membincangkan isu politik dan keadaan semasa tanah air. Isu penularan wabak COVID-19 terus merisaukan dengan jumlah kes baharu dan angka kematian harian yang tinggi, di samping usaha pemberian vaksin yang perlu dipertingkat. Pakatan Harapan turut risau akan masalah ekonomi semasa, termasuk isu pengangguran, pendapatan yang berkurangan, sektor-sektor yang amat terkesan dan perancangan Kerajaan untuk menghidupkan semula ekonomi. Oleh yang demikian, 

Majlis Presiden hari ini mengulangi komitmen bahawa Pakatan Harapan sebagai gabungan politik akan diperkukuh, di bawah kepimpinan YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi. Segala persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke-15 akan dipergiat termasuk perbincangan kerusi, manifesto, barisan kepimpinan dan calon, serta strategi untuk memenangi mandat rakyat. Pada masa yang sama, selaras dengan Ketetapan Port Dickson bertarikh 9 April 2021, dan untuk menggembleng kekuatan seluruh blok Pembangkang, Pakatan Harapan mengambil pendirian yang terbuka untuk berunding dan bekerjasama di bawah konsep ‘Khemah Besar’ berdasarkan Agenda Reformasi dan kepentingan rakyat. Usaha menggembleng tenaga tersebut menerusi kaedah ‘Khemah Besar’ dikalangan ahli pembangkang mesti diberikan keutamaan mengatasi permainan dan percaturan politik kuasa yang diperalat oleh pihak tertentu untuk merebut kuasa dan jawatan yang hanya akan merugikan negara. 

Pakatan Harapan juga akan meneruskan tugas di Parlimen sebagai Pembangkang yang memberikan kritikan, teguran, syor dan pandangan yang membina dan bertanggungjawab, sesuai dengan titah nasihat KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong demi memastikan proses semak imbang ke atas kuasa Eksekutif terus dilaksana. Marilah kita sama-sama berdoa dan berusaha supaya krisis wabak COVID-19 dan kemelesetan ekonomi segera diatasi demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat Malaysia.

 

Anwar Ibrahim Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) 

Mohamad Sabu Parti Amanah Negara (AMANAH)

Lim Guan Eng Parti Tindakan Demokratik (DAP)




No comments: