Usul undi percaya terhadap Perdana Menteri masih perlu dilakukan - Hanipa Astro Awani

 

Astro Awani
Usul undi percaya terhadap Perdana Menteri masih perlu dilakukan - Hanipa
Kata Hanipa, proses mengabsahkan pelantikan itu boleh dibuat di Dewan Rakyat dengan kadar segera melalui usul undi percaya daripada pihak kerajaan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Usul undi percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat masih perlu dilakukan walaupun Datuk Seri Ismail Sabri telah mengangkat sumpah jawatan pada Sabtu, kata Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin.
Menurutnya, sebarang kenyataan yang mengatakan usul itu tidak perlu adalah tidak wajar, mengelirukan dan tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Jelasnya, usul undi percaya di Dewan Rakyat seperti titah Yang di-Pertuan Agong adalah wajib dibawa kerajaan dan ia perlu menjadi agenda yang perlu disegerakan.
"Di atas kapasiti Ahli Parlimen Sepang, saya tidak ada sedikit masalah pun untuk mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabari di atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri kesembilan.
"Meskipun saya agak kritikal sebelum pelantikan itu atas dasar meragui sokongan yang beliau perolehi khususnya dari Bersatu itu adalah sah kerana kenyataan media Presiden Bersatu yang jelas hanya memberikan sokongan bersyarat dan tidak muktamad dan ia melanggar arahan jelas Yang di-Pertuan Agong, namun saya masih boleh menerimanya buat masa ini.
"Kini, timbul pula persoalan baru iaitu 'adakah wajar upacara pengangkatan sumpah beliau di istana pada hari ini (Sabtu) sebagai Perdana Menteri dilakukan?'" soalnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Katanya lagi, persoalan tersebut datang daripada pihak yang membangkitkan titah rasmi Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, yang menyatakan Perdana Menteri dilantik hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen.
"Saya tidak kata hujah tersebut langsung tidak bermerit sama sekali kerana titah Yang di-Pertuan Agong yang menggunakan istilah 'keabsahan' itu mungkin boleh ditafsirkan bahawa sebarang majlis pelantikan secara rasmi - angkat sumpah - mungkin tidak patut dibuat sehingga Parlimen mengabsahkan pelantikan PM tersebut," katanya.
Justeru, beliau berpendapat proses mengabsahkan pelantikan itu perlu dibuat di Dewan Rakyat dengan kadar segera melalui Usul Undi Percaya daripada pihak kerajaan.

No comments: