Sesuap bubur nasi buat ahli Bersatu…


Bersatu yang menguasai kerajaan selama 17 bulan, memberi laluan yang amat mudah untuk Umno kembali berkuasa.

Peralihan kuasa bukan saja mengecewakan akar umbi Bersatu, tetapi turut menimbulkan banyak persoalan, susulan kejutan demi kejutan yang melanda parti serpihan Umno itu sehingga memaksa presidennya Muhyiddin Yassin letak jawatan satu minggu lalu.



Ramai kalangan pemerhati yang bertanya (secara sinis) apakah masalah kesihatan mental yang banyak menyerang rakyat kerana terjejas oleh Covid-19, turut menimpa kalangan pemimpin Bersatu? Sehinggakan keputusan-keputusan yang diambil pucuk pimpinan parti itu jauh terpesong daripada objektif asal, dan matlamat penubuhan Bersatu sendiri.

Dalam tempoh yang cukup singkat, Bersatu kehilangan jawatan Perdana Menteri yang amat bernilai buat parti itu.

Kehilangan itu satu tamparan yang amat hebat kepada sebuah parti yang “kecil” dari segi bilangan ahli tetapi berkuasa besar, kerana dipimpin dua perdana menteri (Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin).

Namun, dalam sekelip mata, Bersatu bukan sahaja hilang status, kini asas perjuangannya yang mendapat sokongan rakyat pada PRU lalu juga melayang hilang entah ke mana.

Hilang hala tuju

Bersatu, ditubuhkan selepas Muhyuddin dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan juga Umno oleh Najib Razak pada 2016.

Ketika itu, isu 1MDB hangat diperkatakan. Bersatu didirikan oleh Muhyiddin dan Mahathir atas asas ‘melawan’ ketidakadilan, rasuah, ketirisan, dan keborosan.

Kempen Bersatu pada PRU-14 yang ditunjangi Mahathir, Muhyiddin, dan pemimpin lain bersandarkan isu-isu rasuah dan penyelewengan. Mereka bersama Pakatan Harapan turut menuntut pemansuhan akta-akta yang menekan aspirasi rakyat untuk perubahan dan pembaharuan.

Bersatu menampilkan diri sebagai parti seiring dengan denyut jantung rakyat, malah menyokong (dan memperolehi sokongan) gerakan pro-pembaharuan Bersih 5.0.

Tetapi lain ceritanya hari ini.

Selepas menerajui kerajaan campuran yang dinamakan Perikatan Nasional (PN) selama lebih 17 bulan, Muhyiddin akhirnya tersungkur kerana ‘lupa’ atau ‘buat lupa’ segala janji yang diberikan Bersatu kepada rakyat semasa PRU-14.

Beliau meminggirkan Parlimen, malah menutup institusi itu dengan memperalatkan Ordinan Darurat dan enggan melaksanakan pembaharuan-pembaharuan asas yang disokongnya sebelum ini.

Susulan Langkah Sheraton pada Februari tahun lalu, Bersatu pimpinan Muhyiddin hilang fokus dan hala tuju, justeru hilang sokongan rakyat.

Sebaliknya, tempoh 17 bulan itu banyak diguna untuk ‘bersilat’ dengan musuh-musuh dalam selimut, khususnya Umno yang akhirnya menarik balik sokongan kepadanya, sekali gus menjatuhkan beliau dan kerajaannya.

Tidak menghairankan, apabila ramai berpendapat bahawa Muhyiddin dan gerombolan pemimpinnya dalam Bersatu sudah hilang pedoman dan keupayaan untuk memerintah negara.

Kini, pemimpin Umno kembali menjadi perdana menteri, dalam keadaan Bersatu ‘sesat’ dan mungkin sengaja ‘disesatkan’. Hala tujunya tidak pasti ke mana. Yang pasti Bersatu sudah jauh tergelincir landasan perjuangan asal. Destinasi dan masa depannya juga amat kabur apa lagi dalam cuaca politik yang sukar, berubah-ubah, dan samar.

Strategi 7 perkara

Dua hari sebelum terpaksa meletak jawatan, Muhyiddin, dalam keadaan terdesak, mengajak pembangkang bekerjasama dengannya untuk menukar corak perlembagaan negara. Tawaran itu sesuatu yang tidak dijangka dan di luar pengetahuan ramai, termasuk ahli Jemaah Menteri beliau sendiri.

Tujuh perkara yang diutarakannya, berlandaskan reformasi yang agak radikal bagi ahli politik menerimanya.

Antara lain ia melibatkan hak mengundi automatik untuk mereka bawah umur 18 tahun, undang-undang mencegah wakil rakyat lompat parti, peruntukan sama rata untuk semua Ahli Parlimen pembangkang dan seseorang tidak boleh menjadi Perdana Menteri lebih daripada dua penggal.

Untuk merealisasikan semua tujuh perkara itu, Perlembagaan perlu dipinda dengan sokongan undi 2/3 di Parlimen, sesuatu yang Muhyiddin tidak punya. Justeru, beliau meminta sokongan Ahli Parlimen pembangkang.

Malangnya, tawaran Muhyiddin itu seharusnya dibentang di Dewan Rakyat, tetapi beliau sendiri yang memilih untuk menutup Parlimen. Ini mengecilkan fungsi Parlimen dan wakil rakyat.

Muhyiddin membuat tawaran itu ketika kemarahan Ahli Parlimen dan rakyat kepada pentadbirannya semakin memuncak. Justeru, tawaran ‘7 perkara’ oleh Perdana Menteri ketika itu hanya menambah rasa marah itu.

Ringkasnya, Muhyiddin silap pilih masa dan keadaan dalam membuat tawaran itu. Mungkin juga silap cara berkomunikasi yang lagaknya seperti tidak tulus dan tidak ikhlas.

Sekiranya pihak pembangkang bersetuju dengan cadangan tersebut, beliau akan memperolehi undi kepercayaan secukupnya untuk terus memegang jawatan Perdana Menteri.

Apakah resolusi 7 perkara itu mempunyai ‘udang besar di sebalik batu’ seperti mana Langkah Sheraton yang terkenal dulu? Tiada siapa yang tahu.

Apa pun, tawaran 7 perkara itu menyerlahkan siri kesilapan Muhyiddin dan Bersatu. Corak kepimpinan yang tidak nyata, falsafah parti yang kabur, dan langkah-langkah sumbang yang tidak mengambil kira naluri rakyat, akhirnya membawa padah kepada Muhyiddin dan Bersatu.

Walaupun tawaran 7 perkara oleh Muhyiddin mungkin murni dan hasil perubahan Perlembagaan tersebut berupaya membawa Malaysia ke era baru, ucapan beliau itu lemah dan tidak meyakinkan.

Dalam ucapan itu, beliau menyebut tekanan ke atasnya untuk mencampuri urusan mahkamah terhadap mereka yang diheret ke muka pengadilan. Apakah Muhyiddin tidak menjangka perkara sebegitu akan terjadi dan digunakan sebagai senjata politik?

Yang aneh, beliau sendiri belum memperjelaskan rekodnya sendiri dalam menawarkan jawatan GLC dan Jemaah Menteri kepada Ahli Parlimen untuk meraih sokongan. Juga tidak ada penjelasan mengenai audio suara miripnya bahawa jawatan-jawatan kerajaan boleh ditawarkan kepada Ahli Parlimen untuk meperolehi sokongan bagi membentuk kerajaan baharu (in the scheme of things)?

Persoalan yang timbul ialah kenapa Muhyiddin menunggu 17 bulan untuk menawarkan 7 perkara berkenaan? Kenapa tidak satu tahun atau enam bulan yang lalu, sebelum beliau menutup rapat pintu Parlimen?

Retorik politik

Persoalan pokoknya, apakah Muhyiddin sebagai Perdana Menteri mahupun presiden Bersatu, benar-benar percaya kepada kenyataan yang beliau sendiri luahkan?

Atau ianya sekadar gimik politik yang ditulis untuk mengabui mata pembangkang dan memecahbelahkan mereka, supaya ada pihak (seperti beberapa kerat dalam DAP) yang benar-benar percaya dan memihak kepadanya?

Sekiranya beliau dan ahli Bersatu benar-benar percaya kepada tujuh perkara yang dicadangkan itu, kenapa tidak dicadangkan dari dulu lagi sewaktu dia mula-mula memegang jawatan Perdana Menteri.

Persoalan sama juga harus dimajukan kepada Umno, PAS, dan sekutu yang lain dalam Perikatan Nasional. Kenapa tidak jadikannya 7 perkara itu agenda nasional untuk memperkasakan Perlembagaan?

Sekiranya Muhyiddin benar-benar ikhlas dalam memperjuangkan 7 perkara tersebut dan percaya bahawa ia akan memberi faedah besar kepada rakyat dan negara amnya, maka ianya mestilah didokongi oleh semua pihak yang terlibat dalam politik tanah air termasuk Bersatu sendiri.

Ini juga harus dijadikan ‘mantra’ Bersatu dan asas utama perjuangan Bersatu. Ia harus menjadi doktrin parti dan didokong semua ahli. Asas perjuangan ini akan memperkuatkan nadi dan nurani Bersatu, sebuah parti yang ditubuhkan untuk menghapuskan rasuah dan penyelewengan berleluasa.

Perjuangan anti-rasuah ini berupaya mengembalikan Bersatu kepada hala tuju yang amat positif dan mampu meraih sokongan merentasi kaum.

Tujuh perkara ini akan membezakan Bersatu daripada Umno. Dengan matlamat jelas untuk kesejahteraan negara dan rakyat, Bersatu berupaya diterima oleh lebih ramai masyarakat berbanding Umno atau PAS.

Tetapi malangnya, ucapan Muhyiddin nampaknya tidak lebih dari retorik politik yang diutarakan sewaktu beliau dalam keadaan terdesak dan diambang kejatuhan. Muhyiddin dan Bersatu senyap membisu mengenai keperluan menjadikan 7 perkara itu realiti dan asas perjuangan parti.

Rumusannya, tawaran 7 perkara itu diangkat oleh Muhyiddin sebagai senjata politik untuk menyelamatkan diri, bukan untuk menyelamatkan negara. Apabila beliau jatuh, Muhyiddin dan Bersatu ‘lupa’ terus akan pentingnya tawaran itu terus diperjuangkan, apa lagi kerana Bersatu masih ada kuasa utama dalam pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

Ini bermakna, sehingga ini perjuangan Bersatu semakin tidak jelas. Apa tujuan parti ini sebenarnya? Untuk berkuasa? Apakah asas-asas perjuangan yang mahu ditegakkan? Apakah perancangan untuk rakyat dan negara tercinta?

Sekiranya tidak ada, ramai pihak yang mencadangkan supaya Bersatu dibubarkan saja terus. Semua ketua dan ahli boleh masuk atau kembali kepada Umno.

Sekarang pun mereka bekerjasama dan menyokong Umno untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Jawatan Perdana Menteri diserahkan kepada Umno dengan begitu mudah tanpa sebarang perdebatan dalam Bersatu itu sendiri.

Kalau dulu, Umno terpaksa mengikut telunjuk Bersatu, sekarang Bersatu mesti mengikut telunjuk Umno. Ini realiti politik baharu susulan kejatuhan Muhyiddin dan naiknya Ismail.

Selepas Muhyiddin tunduk kepada tekanan Umno untuk meletakkan jawatan, Bersatu bertukar menjadi ‘pak turut’ dengan kembali menyokong Umno untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Ahli Parlimen Pagoh itu.

Inilah permainan kuasa politik yang agak aneh dan mengelirukan ramai ahli Bersatu dan rakyat amnya.

Dalam keghairahan untuk mengekalkan kuasa, Bersatu membelakangkan kepentingan rakyat dan pengundi. Akhirnya Bersatu kecundang kepada nafsu politiknya sendiri, sekali gus kehilangan bukan saja jawatan perdana menteri, tetapi juga hala tuju, matlamat perjuangan, dan paling penting sokongan rakyat.

Nasi sudah menjadi bubur. Tetapi apabila lapar, terpaksa disuapi jua.

Inikah perjuangan ahli-ahli Bersatu?

No comments: