Kerajaan baharu bukan kerajaan PN, pemimpin Umno bidas Muhyiddin

 

facebook sharing button 
twitter sharing button 
whatsapp sharing button 
email sharing button 
Ahmad Maslan (kiri) dan Abdul Rahman Dahlan berkata, Barisan Nasional bukannya parti komponen Perikatan Nasional.

PETALING JAYA: Dua pemimpin Umno berkata, kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob bukannya kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti yang disifatkan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan berkata, kerajaan baharu itu adalah kerajaan campuran yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), PN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

“PN hanya dianggotai oleh Bersatu, PAS, Gerakan, Star dan tidak BN, GPS dan PBS,” katanya di Facebook.

Ahmad mengulas kenyataan Muhyiddin selepas menemui Ismail hari ini yang menyatakan beliau akan terus membantu kerajaan PN.

“Saya memberi sokongan penuh kepada beliau dan insya Allah akan terus membantu kerajaan Perikatan Nasional menyampaikan khidmat yang terbaik kepada rakyat, khususnya dalam tempoh pemulihan negara,” demikian menurut catatan Muhyiddin di Facebook.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan berkata, jenama PN sebagai kerajaan persekutuan berakhir hari ini.

Malah katanya, BN bukannya parti komponen PN.

“Kerajaan dulu ialah gabungan BN, PN, PBS dan GPS, bukannya kerajaan PN.

“Entah siapalah yang memandai-mandai melabelkan kerajaan dulu adalah kerajaan PN,” katanya dalam catatan di Facebook.

No comments: