Ismail ajak pembangkang sertai MPN, Jawatankuasa Khas Covid-19

 

FMT Reporters
 -

Ismail Sabri Yaakob merayu semua Ahli Parlimen mengetepikan perbezaan dan bekerjasama untuk menyelamatkan ‘Keluarga Malaysia’.

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mempelawa parti pembangkang menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Beliau turut merayu semua Ahli Parlimen mengetepikan perbezaan dan bekerjasama untuk menyelamatkan “Keluarga Malaysia”.

“Marilah kita, dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan.

“Kita perlu bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita,
iaitu Keluarga Malaysia,” katanya dalam ucapan sulung sebagai perdana menteri kesembilan hari ini.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, beliau menggunakan pendekatan “Keluarga Malaysia” kerana frasa itu bersifat lebih inklusif yang merentasi sempadan agama, bangsa dan
kaum.

“Setiap daripada anda adalah seperti keluarga saya sendiri – sama ada anak muda, mahupun yang telah berusia.

“Kita diibaratkan saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan.”

Beliau menyifatkan dua kali peralihan kerajaan dalam tempoh sepenggal, dengan hanya berbaki 21 bulan sebelum pilihan raya umum ke-15, merugikan rakyat dan negara.

“Marilah kita bergerak ke hadapan. Kita leraikan segala perebutan kuasa politik.

“Kita bersama-sama berjuang sebagai sebuah keluarga besar yang merangkumi penjawat awam, pekerja swasta dan yang bekerja sendiri – dalam memperbaik, merawat dan memulihkan semula tanah air ini.”

Ismail berikrar akan melakukan yang terbaik demi membuktikan kepercayaan rakyat terhadap beliau tidak disia-siakan.

“Hasrat ini hanya berupaya dicapai melalui kerjasama daripada seluruh pentadbiran yang didukung oleh penjawat awam selaku tulang belakang pentadbiran negara.”

Ismail turut mengucapkan terima kasih kepada usaha bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin dan kerajaan terdahulu dalam program vaksinasi yang menyaksikan lebih 500,000 dos vaksin diberikan setiap hari.

“Saya akan memastikan setiap intervensi dan usaha kerajaan untuk menurunkan kes Covid-19 dilakukan secara lebih komprehensif.

“Ia bakal dilaksanakan melalui kerjasama strategik rentas kerajaan dengan penglibatan pemegang taruh, agensi kerajaan dan pihak swasta bagi memastikan sistem kesihatan negara kembali stabil.”

Beliau berjanji akan meneruskan usaha mencapai sasaran imuniti kelompok untuk negara beralih ke fasa pemulihan, dengan meningkatkan meningkatkan liputan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Kita optimis melalui kejayaan program vaksinasi ini kelak, ramai yang boleh kembali menziarahi ibu bapa di kampung
halaman, meraikan perayaan dan melancong dalam negara.

“Anak muda boleh beriadah, pulang semula ke institusi pengajian tinggi, dan yang paling utama ialah anak-anak kita boleh kembali ke sekolah.

“Gambaran ini bukanlah satu angan-angan kosong kerana negara kita pernah berjaya menurunkan statistik pesakit Covid-19.”

Beliau memberi contoh keadaan di Labuan dengan jangkitan harian berkurangan secara konsisten kepada satu digit selama tujuh hari berturut-turut selepas mencapai 90% imuniti kelompok dewasa.

Untuk itu, katanya, kerajaan membeli tambahan 6 juta dos vaksin yang akan diterima awal bulan depan.

Selain krisis kesihatan, beliau berjanji akan mengurangkan kesan ekonomi berterusan dengan menumpukan usaha meningkatkan kuasa beli pengguna dan mengangkat semula sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Fokus usaha kita ialah rakyat yang kehilangan pekerjaan dan mata pencarian, rakyat berpendapatan sederhana, perusahaan kecil dan sederhana serta sektor perindustrian, termasuk pelancongan domestik.”

No comments: