PM selesaikan Undi Percaya dahulu sebelum lantik kabinet - Dr Aziz Bari

 


Perdana Menteri (PM) Malaysia yang baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dinasihatkan agar melaksanakan terlebih dahulu titah Yang di-Pertuan Agong melepasi Undi Percaya di Parlimen sebelum melantik anggota kabinet.



Pakar undang-undang Perlembagaan, Dr Aziz Bari berpendapat, pelantikan kabinet sekiranya mahu juga dilakukan sepatutnya terhad kepada beberapa orang menteri yang penting dalam usaha menangani pandemik Covid 19.



"Ada yang mengatakan tak payah kabinet dulu. Sebenarnya untuk lebih proper, pergi dulu (ke Parlimen). Sudah selesai masalah majoriti baru lantik kabinet.



"Sekarang pun boleh tulis nama, siapa nak dilantik. Tetapi elok pergi sana dulu, clear kan dulu, balik boleh lantik.



"Sekarang ini saya fikir bukan masalah lantik ramai-ramai. Lantik 10 orang pun boleh, bukan semestinya lantik 30 orang terus. Sekadar memadai yang sesuai, apa yang disebut war cabinet. Sebab sekarang dalam keadaan perang lawan Covid. Maknanya 10 orang memadai untuk fasa pertama kementerian atau fungsi kritikal dahulu. Tak semestinya semua," katanya dalam sesi siaran langsung Facebook, malam tadi.



Menjawab soalan netizen apakah akan berlaku sekiranya Ismail sebaliknya tidak berjaya melepasi majoriti mudah dalam Undi Percaya tersebut, Dr Aziz berkata, PM akan jatuh dan perlu digantikan oleh calon PM seterusnya.



"Habislah, kalau tak ada sokongan, habislah. Kalau dalam keadaan biasa bubar Parlimen. Dalam keadaan sekarang, pandemik, mungkin saya rasa yang terdekat ialah proses yang berlaku hari itu (pemilihan PM), yang terjadi hari itu kena buat semula.



"Cuma saya rasa dalam keadaan seperti itu, kalaulah berlaku tak susah sangat, sebab dah ada pelan B (calon PM kedua). Jadi kita tahu siapa yang patut dilantik.



"Atau masa ini sesuai untuk difikirkan soal Kerajaan Perpaduan. Maksudnya seorang PM dilantik dan kabinetnya dilantik dari kedua-dua pihak bagi menjalankan pentadbiran selama penggal Parlimen sebelum PRU.



"Bukan PM sementara tetapi bentuk Kerajaan Perpaduan yang tak ada pembangkang. Sebab orang tak mahu perintah negara dalam keadaan kritikal. Ini selalunya berlaku dalam keadaan perang, macam di United Kingdom, perang dunia I dan perang dunia II. Malah Brexit baru-baru ini pun ada juga. War cabinet itu ada," katanya lagi.



PM Ismail Sabri dijangka akan menghadapi Undi Percaya pada sesi Parlimen bulan September ini bagi mengabsahkan pentadbirannya sehingga tempoh penggal berakhir pada Mei 2023.