BERSATU PARTI LEBAI MALANG

 

Dalam sejarah politik negara, Bersatu barangkali boleh dianggap sebagai parti bernasib paling malang.

Selepas PH memenangi PRU14 pada 2018, Bersatu melalui Tun Mahathir Mohamad berjaya menduduki kerusi Perdana Menteri dan mengetuai tiga kerajaan negeri iaitu Johor, Kedah dan Perak.

Johor ketika itu dipimpin Osman Sapian dan diikuti Dr. Shahruddin Jamal, Kedah oleh Mukhriz Mahathir manakala Perak oleh Ahmad Faizal Azumu atau Peja.

Berikutan Mahiaddin Md Yasin melakukan pengkhianatan untuk mengejar jawatan Perdana Menteri pada awal tahun 2020 lalu dengan menubuhkan kerajaan PN, dua kerajaan negeri yang diketuai Bersatu terlepas daripada genggamannya.

Jawatan Menteri Besar Johor diambil-alih oleh Hasni Mohamad daripada UMNO sementara Kedah oleh Sanusi Mohd Nor daripada Pas.

Kemudian, UMNO menikam Bersatu di Perak pula dengan menumbangkan Peja melalui sandiwara undi percaya kerana inginkan jawatan Menteri Besar itu.

Lalu berjayalah UMNO mencapai cita-citanya dengan Saarani Mohamad kini menjadi Menteri Besar Perak menggantikan Peja.

Baru-baru ini, berikutan dikhianati oleh UMNO, Bersatu akhirnya hilang jawatan Perdana Menteri yang dipegang Mahiaddin.

Sebagaimana Mahiaddin mengkhianati PH untuk merampas jawatan Perdana Menteri, beliau akhirnya dikhianati oleh UMNO yang pada awalnya menyokong beliau menduduki jawatan tersebut.

Meski dikhianati dan dijatuhkan oleh UMNO, Mahiaddin dan Bersatu sekarang ini tiada pilihan lain selain terpaksa menyokong Ismail Sabri Yaakob yang merupakan Naib Presiden UMNO sebagai calon Perdana Menteri.

Maknanya, jika Ismail Sabri terpilih sebagai Perdana Menteri, sebagaimana di Perak di mana pengganti jawatan itu diambil alih oleh UMNO, tempat Mahiaddin mengetuai kerajaan pusat juga diambil oleh UMNO.

Menariknya, Mahiaddian selaku Presiden Bersatu seakan menuruti nasib malang Peja yang merupakan Timbalan Presiden parti itu.

Hanya dalam Bersatu, Presiden dan Timbalannya dijatuhkan oleh parti yang sama dan kemudian mereka menyokong pula pemimpin daripada parti tersebut untuk mengganti kerusi yang mereka tinggalkan.

Aduhhh….malang sekali nasibmu Bersatu!!

Hakikatnya, elok-elok ada kerusi Perdana Menteri dan tiga kerajaan negeri, tetapi dek kerana rakus kuasa dan sanggup berbuat khianat, akhirnya mereka sendiri dikhianati hingga tiada apa-apa lagi yang tinggal sekarang ini.

Jika UMNO melalui Ismail Sabri berjaya menduduki kerusi Perdana Menteri, nasib malang Bersatu dijangka tidak berakhir setakat ini saja.

Walaupun kerajaan PN 2.0 yang akan mentadbir negara adalah lanjutan kerajaan PN sebelum ini, tetapi oleh kerana ia bakal diketuai UMNO, lebih mungkin Bersatu akan terus diketepikan dan ditekan dalam banyak siri lagi selepas ini.

Selain Mahiaddin sendiri bakal kena saman dengan Najib Razak, yang pasti, Geng Hamzah Zainuddin dan Geng Azmin Ali tidak akan semudah itu untuk diberi laluan terus bertanding di kerusi-kerusi lompat mereka, meskipun telah memberi sumbangan meletakkan calon UMNO di kerusi Perdana Menteri.

Hilang semua jawatan, kena saman dan kerusi pilihanraya pun bakal melayang, apa lagi kalau bukan namanya Si Lebai Malang?


 (ShahbudinHusin 18/08/2021)



No comments: