Sokongan bersyarat langgar titah Agong – Mahfuz

 MGF01032021_TEMUBUAL-MAHFUZ-OMAR_05-1


KUALA LUMPUR – Sokongan bersyarat yang dikenakan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan didakwa bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, penetapan syarat seperti dinyatakan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan parti gabungan itu ‘membohongi’ Yang di-Pertuan Agong.

Ini, katanya, bermakna kerajaan yang bakal dibentuk oleh Ismail Sabri jika terpilih sebagai Perdana Menteri kesembilan tidak akan stabil dan kucar kacir politik akan berulang.

“Oleh itu, satu proses baharu perlu dicari oleh Yang di-Pertuan Agong bagi menjamin Perdana Menteri yang dilantik nanti seorang yang tidak takut dengan peras ugut politik dalaman seperti yang berlaku dan tidak terikat dengan kepentingan politik parti sendiri.

“Saya percaya dengan syarat dan ugutan yang dibuat oleh PN kepada Ismail Sabri menjadikan Malaysia sedang dipengaruhi oleh politik peras ugut yang bercorak kumpulan mafia.

“Saya percaya berasaskan pergolakan politik dalaman UMNO sebelum kejatuhan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sudah tentu Ismail sabri berdepan dengan peras ugut dan syarat yang tidak dilafaskan oleh kumpulan Presiden UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media melaporkan, Muhyiddin berkata, sekiranya Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau hendaklah memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

Kerajaan PN bawah pimpinan beliau juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan.

Beliau berharap, proses pelantikan perdana menteri yang baharu dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Mahfuz, beliau memohon kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum membuat keputusan perlu melihat perkara itu sedalamnya demi masa depan kesejahteraan Malaysia. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

SOKONGAN KEPADA ISMAIL SABRI BERSYARAT – MUHYIDDIN

No comments: