Zahid panggil Ahli Parlimen tandatangan cadangan tarik diri daripada kerajaan, kata laporan


Menurut sumber, Zahid bercadang mengemukakan usul kepada Majlis Tertinggi parti supaya Umno menarik sokongan kepada kerajaan “dalam masa terdekat”.

PETALING JAYA: Presiden Umno Zahid Hamidi dikatakan sedang memanggil Ahli Parlimen secara berperingkat untuk mendapatkan persetujuan dan tandatangan terhadap cadangan menarik diri daripada kerajaan, menurut satu laporan.

Akhbar Utusan Malaysia memetik sumber sebagai berkata, lebih 10 Ahli Parlimen Umno dipanggil untuk menemui Zahid di pejabat parti bersama-sama Timbalan Presiden Mohamad Hasan, dan Setiausaha Agung Ahmad Maslan.

Katanya, Zahid bercadang mengemukakan usul kepada Majlis Tertinggi parti supaya Umno menarik sokongan kepada kerajaan “dalam masa terdekat”.

“Kalau setuju bermakna mereka perlu tandatangan cadangan itu,” tambahnya.

Menurut laporan itu lagi, ada Ahli Parlimen yang tidak bersetuju mengemukakan usul itu kerana keputusan MT Umno tidak mempunyai kesan sekiranya wakil rakyat tidak menarik sokongan.

No comments: