PM mahu panggil sidang Parlimen ‘secepat mungkin’ sebelum 1 Ogos

 

(Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mahu memanggil sidang Parlimen secepat mungkin sebelum 1 Ogos, bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan dalam kenyataan sebentar tadi.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa menjunjung titah pandangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam semua hal berkaitan pemerintahan negara termasuklah berhubung dengan persidangan Parlimen.

“Sehubungan itu perdana menteri selaku Ketua Majlis Parlimen telah memutuskan akan memanggil sidang Parlimen secepat mungkin sebelum 1 Ogos 2021.

“Perkara ini akan dimuktamadkan dalam mesyuarat jemaah menteri pada 7 Julai 2021,” kata Takiyuddin.

Pada 29 Jun lalu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Tuanku berpandangan, persidangan itu perlu dilakukan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard Covid-19 yang ditetapkan Kerajaan dan Parlimen Malaysia.

Jelas beliau lagi, baginda mengambil ketetapan itu setelah mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Negara Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun di Istana Negara.