KENYATAAN MEDIA
MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN
2 Julai 2021
JIKA PM DERHAKA DAN TIDAK UMUM TARIKH SIDANG SECEPAT MUNGKIN, AHLI PARLIMEN AKAN KE PARLIMEN 19 JULAI
Majlis Presiden Pakatan Harapan meneliti dan memandang serius kenyataan media Istana Negara bertarikh 29 Jun 2021. Ini adalah kenyataan yang amat bersejarah kerana merupakan kali ketiga KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh dan perlu bersidang.
Majlis Presiden turut meneliti kenyataan media bersama Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat bertarikh 30 Jun 2021, bahawa satu persidangan khas Parlimen diadakan sebelum 1 Ogos 2021 dicadangkan kepada Perdana Menteri.
Namun kami kesal bahawa sehingga hari ini Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tentang langkah konkrit untuk menjunjung titah Seri Paduka Baginda berhubung sidang Parlimen secepat mungkin sebelum 1 Ogos 2021.
Majlis Presiden berpandangan Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) telah melakukan penderhakaan terhadap bukan sahaja KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, tetapi juga terhadap KDYMM Raja-Raja Melayu yang turut menzahirkan pandangan bahawa Parlimen perlu bersidang segera.
Sekiranya Perdana Menteri dan Menteri-Menterinya masih berdegil menderhaka kepada Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu maka mereka bertanggungjawab mencetuskan krisis Perlembagaan.
Sidang Parlimen yang perlu diadakan sebelum 1 Ogos 2021 ini mesti membahaskan krisis pandemik COVID-19 serta Proklamasi Darurat, Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara, seperti titah pandangan Seri Paduka Baginda.
Ini untuk memastikan usaha berkesan mengekang penularan wabak COVID-19 dan menyelesaikan masalah ekonomi dan kehidupan harian yang dihadapi rakyat.
Rakyat sekarang sangat tertekan sehingga ada yang telah membunuh diri dan ada yang telah mengibarkan bendera putih, maka sidang Parlimen ini mesti memberi fokus isu rakyat dan bukan isu politik.
Oleh itu, sekiranya Perdana Menteri tidak membuat sebarang pengumuman berkaitan sidang Parlimen selewat-lewatnya 5 Julai 2021, maka kami menggesa semua Ahli Parlimen sama ada Pembangkang mahupun Kerajaan yang menjunjung titah Tuanku dan menghormati semangat Perlembagaan menurut prinsip demokrasi berparlimen untuk bersama-sama ke Parlimen pada 19 Julai 2021.
Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)
Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)