KEADILAN PAHANG MEMBANTAH KERAS PIHAK YANG MENGUGUT RAKYAT YANG MENAIKKAN BENDERA PUTIH


Keadilan Pahang melahirkan rasa simpati kepada beberapa penduduk di sekitar Indera Mahkota dan Kuantan yang mengadu bahawa mereka telah diugut untuk diambil tindakan sekiranya mereka mengibarkan bendera putih bagi memberi isyarat mereka perlukan bantuan segera.

Sewajarnya kita membantu mereka yang terpaksa bertindak sedemikian demi mendapatkan sedikit bantuan makanan untuk keluarga mereka. Ini bukan isu politik tetapi ini soal kemanusiaan. Di Indera Mahkota, sewajarnya Ahli Parlimen Indera Mahkota, seorang menteri di bawah kerajaan tebuk atap sekarang masih "berhutang" dengan penduduk Indera Mahkota yang mengundinya dahulu. Beliau telah mengkhianati mandat yang diberikan dan beliau patut turun membantu masyarakat di parlimen tersebut bukan membiarkan mereka ditekan dan diugut sedemikian rupa. Paling menyedihkan pihak berkuasa telah digunakan untuk menakutkan penduduk.

Mengapa perlu takut kepada bendera putih? Apakah kamu bimbang semakin ramai mengibarkan bendera putih membuktikan kerajaan pusat dan kerajaan negeri telah gagal ?

Keadilan Negeri Pahang membantah sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan itu. Kami telah mengarahkan semua jentera parti di seluruh Pahang untuk memantau mana-mana kawasan dan memberikan bantuan sekadar keupayaan kami agar rakyat tidak mati kelaparan.

Terima kasih kepada jentera Keadilan Cabang Indera Mahkota dan Kuantan di bawah YB Puan Hajjah Fuziah Salleh, MP Kuantan, YB Lee Chean Chung, Adun Semambu, YB Sim Choon Siang, Adun Teruntum serta seluruh jentera dan sukarelawan yang terus menghantar bantuan ke rumah mereka yang memerlukan. Terus kibarkan bendera putih jika anda perlukan bantuan kerana tiada undang-undang yang melarangnya. InsyaAllah, kami akan sampai ke rumah anda.

WAN FAUZULDIN WAN SAMAD

Ketua Komunikasi

KEADILAN Pahang

 

No comments: