(KEMASKINI) Umno dijangka ‘tinggalkan’ kerajaan PN sebelum 1 Ogos

 

PETALING JAYA: Umno dijangka menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional sebelum 1 Ogos, kata sumber parti, dalam perkembangan terbaharu yang akan menguji keabsahan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri pada sidang Parlimen bulan ini.

Menurut sumber itu, majoriti ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memberikan persetujuan untuk Umno berbuat demikian dalam perjumpaan secara berperingkat dengan presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.

Umno adalah blok penyokong terbesar kepada kerajaan PN yang mempunyai sokongan amat rapuh di Dewan Rakyat.

Sumber parti memberitahu FMT, hanya beberapa ahli MKT yang belum memberi persetujuan untuk Ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan kepada PN.

“Setakat ini majoriti ahli MKT bersetuju Umno ‘pull the plug’ sebelum 1 Ogos 2021.

“Tinggal beberapa orang sahaja yang belum dipanggil iaitu dalam kalangan ‘Kluster Menteri’ (dalam kerajaan PN),” kata sumber itu.

Menurut sumber tersebut, Ahli Parlimen terikat dengan keputusan MKT maka tidak timbul presiden parti memerlukan persetujuan Ahli Parlimen Umno.

Beliau menegaskan perjumpaan itu selaras dengan keputusan Perhimpunan Agung Umno 2020, yang memberi mandat kepada Presiden berbincang dengan MKT tarikh yang sesuai untuk Umno keluar daripada kerajaan PN selewat lewatnya 1 Ogos 2021″.

“Justeru tidak timbul presiden parti memerlukan persetujuan Ahli Parlimen Umno. Ia keputusan MKT. Ahli Parlimen adalah terikat dengan keputusan MKT. Sebagai Ahli Parlimen yang menang atas tiket Umno adalah wajib mereka patuh kepada keputusan MKT.”

Sumber parti berkata ketetapan ahli MKT memberikan persetujuan kepada Zahid untuk menarik balik sokongan Umno terhadap PN sebelum 1 Ogos – tanpa menunggu PRU – tidak melanggar mana-mana keputusan parti.

“Umno perlu buat keputusan segera kerana situasi negara semakin meruncing. Apatah lagi Biro Politik Umno memberi tempoh 14 hari sebelum ini (untuk Parlimen bersidang). Tempoh itu sudah hampir tamat.

“Ini bertepatan dengan dengan titah Agong supaya Parlimen bersidang secepat mungkin dan tidak ada kewajaran darurat disambung,” kata sumber itu.

Beliau berkata Umno juga tidak mahu terus terpalit dengan kegagalan Muhyiddin dan kerajaan PN dalam mengurus negara.

“Malaysia berhadapan krisis keyakinan tahap maksimum sekarang ini,” kata beliau.

Sumber itu mengesahkan ahli MKT dipanggil secara berperingkat oleh Zahid untuk mendapatkan persetujuan mereka “secara individu” iaitu menarik balik sokongan parti terhadap PN sebelum 1 Ogos.

“Pendekatan ini diambil kerana Umno tidak dapat mengadakan mesyuarat MKT secara bersemuka akibat pelaksanaan PKP.

“Kaedah ini sama dengan kaedah yang digunakan oleh MKT Umno untuk mendapatkan persetujuan menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan,” kata beliau.

Turut difahamkan, sumber berkata persetujuan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat MKT secara maya untuk disokong sebagai keputusan MKT dan akan diumumkan oleh presiden.

“Ahli MKT akan dimaklumkan tarikh mesyuarat MKT secara maya dalam masa terdekat,” katanya.

No comments: