Kempen bendera putih: Bantuan makanan tetap diteruskan di kawasan PKPD

 

Ohana’s Helping Hands Food Bank tidak menyangka PKPD diumumkan di Selangor dan Kuala Lumpur ketika PKP sedang berjalan. (Gambar Faceook)

PETALING JAYA: Bantuan menerusi kempen bendera putih kekal diteruskan di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) di Selangor dan Kuala Lumpur untuk mereka yang terkesan pandemik Covid-19.

Ohana’s Helping Hands Food Bank, satu badan bukan kerajaan (NGO) kemasyarakatan tidak menyangka PKPD diumumkan di kedua-dua negeri berkenaan ketika PKP sedang berjalan.

“Walaupun kami tidak menjangka PKPD diumumkan secepat ini, namun kami akan cuba sedaya mungkin untuk menghantar agihan makanan di kawasan PKPD…mungkin melalui ‘rider’ mahupun kaedah pengeposan.

“Ketika ini kawasan yang banyak terjejas berada di Lembah Klang dan kami berharap di kawasan lain bantuan turut diagihkan,” kata jurucakap NGO berkenaan, Nursyazwani kepada FMT.

Semalam, kerajaan mengumumkan PKPD di 34 mukim di Selangor dan 14 lokaliti di Kuala Lumpur bermula 3 hingga 16 Julai depan.

Semakin ramai rakyat Malaysia berada di belakang kempen bendera putih atau #BenderaPutih, selain beberapa syarikat perniagaan tempatan baru-baru ini tampil menyokong inisiatif yang tular beberapa hari lalu di media sosial.

Berpunca daripada masalah ketidakstabilan pendapatan yang dihadapi ramai rakyat Malaysia susulan pandemik Covid-19, kempen menggantung bendera putih mendapat perhatian ramai dengan tujuan membolehkan individu memberi isyarat langsung bahawa mereka hampir atau putus sama sekali bekalan makanan untuk isi rumah masing-masing.

No comments: