Warganet mahu lebih CAC dibuka elak kesesakan




Dianggarkan seramai 4,000 orang yang dijangkiti Covid-19 hadir ke CAC Stadium Malawati semalam. (Gambar Twitter abangridhwan)

PETALING JAYA: Warganet meluahkan ketidakpuasan hati terhadap ciapan Twitter Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, selepas beliau berkongsi senarai pusat penilaian Covid-19 (CAC) di Selangor.

Menerusi ciapannya, Noor Hisham menasihati orang ramai supaya tidak hanya tertumpu kepada CAC Stadium Malawati sahaja, sebaliknya boleh pergi ke CAC terdekat di kawasan masing-masing bagi mengelak kesesakan.

“Sila ke CAC terdekat di kawasan masing-masing untuk elakkan kesesakan,” katanya.

Bagaimanapun, rata-rata warganet mempertikai mengapa orang ramai perlu dipersalahkan jika berlaku kesesakan di CAC di Selangor terutama di kawasan Petaling.

Seorang pengguna Twitter @christina_hysim berkata, pusat penilaian Covid-19 (CAC) di Petaling dan Klang perlu terus dibuka memandangkan jumlah penduduk yang ramai di kawasan itu berbanding di kawasan lain.

“Masalahnya, DG, CAC hanya dalam dalam satu daerah. Terutamanya di Petaling dan Klang. Kena buka lagi lokasi. Sini/sana banyak padat…ramai orang,” katanya.

Seorang lagi pengguna, @mhddanialrazak turut mengutarakan pendapat yang sama dan berkata, kawasan Petaling yang besar membuatkan jarak untuk ke pusat penilaian Covid-19 juga menjadi satu masalah.

“DG, Petaling ini terlalu besar, Serdang pun bawah Petaling. Jauh untuk orang yang duduk di Seri Kembangan ke sana. Patut buka satu atau dua CAC berhampiran kawasan ni,” ujarnya.

Sementara itu, @ladyylyn mencadangkan supaya pusat penilaian Covid-19 dibuka di setiap daerah bagi mengurangkan kesesakan dan memudahkan petugas.

“Sebaiknya buka di setiap daerah bagi kurangkan kesesakan, buka di dewan setiap DUN pun ok, ini semua tertumpu stadium memang kesian ‘frontliners’ dan semua.”

No comments: