EXCO Perak mahu penguatkuasa ambil tindakan lambakan gelandangan dan peminta sedekah di bank

 EXCO Perak mahu penguatkuasa ambil tindakan lambakan gelandangan dan peminta sedekah di bank

Penguatkuasaan lebih tegas akan dijalankan untuk membendung isu lambakan gelandangan dan peminta sedekah yang dikatakan semakin ramai di bank sekitar bandar raya Ipoh.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata peningkatan trend tersebut disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik COVID-19.

“Kita melihat pattern ini disebabkan oleh PKP, bukan saja gelandangan yang menghadapi masalah kesukaran hidup, hinggakan semua rakyat pun saya rasa alaminya.

“Kalau tidak masakan ada kempen bendera putih, jadi maksudnya bukan saja gelandangan tetapi ia memberi kesan kepada semua golongan.

“Mereka (gelandangan) tertumpu di bank kerana di situ strategik dan ramai ke bank. Ada aktiviti manusia, mereka berharap serba sedikit sumbangan di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Penempatan Gelandangan (PPG) Sementara Kinta semasa tempoh PKP 3.0 di sini pada Selasa

Ujar Dr Wan Norashikin lagi, perkara itu juga akan dilihat secara menyeluruh dengan kerjasama pelbagai agensi dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kita akan bersama-sama dengan pihak PDRM, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk rangka aktiviti penguatkuasaan.

“Pihak JKM mengenali siapa sebenarnya yang gelandangan atau tidak, bukan semuanya gelandangan kerana ada antara mereka yang tinggal bersama adik beradik dan sebagainya.

“Kita juga dapati golongan gelandangan bertambah ketika PKP, bukan saja di bank tetapi di pasar raya dan taman permainan,” katanya lagi.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai lambakan gelandangan dan peminta sedekah di beberapa kawasan bank sekitar bandar raya Ipoh.

Sementara itu, beliau berkata seramai 14 orang daripada 24 penghuni PPG Sementara di situ akan menerima suntikan vaksin dalam masa terdekat.

Katanya, pemilihan itu berdasarkan kesesuaian dan tahap kesihatan gelandangan untuk divaksinasi.

No comments: