KESETIAAN DALAM UMNO KIAN HANCUR, TINDAKAN KELUAR KERAJAAN TAK BOLEH DILENGAHKAN LAGI

 

Nampaknya satu demi satu rakaman audio mesyuarat MT UMNO pada 7 Julai lalu dibocorkan kepada umum.

Setelah sebelum ini audio Zahid Hamidi dan Abdul Rahman Dahlan dalam mesyuarat tersebut dibocorkan, semalam audio Tajuddin Abdul Rahman pula didedahkan.

Dengan berturut-turut audio itu didedahkan, sepertinya ada pihak tertentu sedang memiliki rakaman penuh keseluruhan mesyuarat MT itu.

Sehari dua akan datang entah audio siapa lagi akan menjadi mengisi halwa telinga kita.

Dengan ada pemimpin UMNO yang pernah berada dalam MT turut bangga berkongsi rakaman audio itu di media sosial, pembocoran itu tidak lain bertujuan mewujudkan kekeliruan, kecelaruan, huru-hara dan penentangan dalam UMNO sendiri terhadap kepimpinan sedia ada.

Mereka itu tentunya sedar dan faham bahawa butiran mesyuarat adalah sulit dan bukan untuk diperdengarkan kepada umum secara terbuka, tetapi demi kepentingan politik, semua itu telah dipersetankan sesuka hatinya.

Dalam hal ini, yang jelas, kesetiaan di kalangan pemimpin dan ahli MT kepada parti sendiri telah mula luntur dek kepentingan jawatan serta kedudukan, walaupun sekadar jadi penumpang.

Keutamaan mereka hanyalah kuasa, jawatan dan kedudukan tanpa menghiraukan tindakan itu akan memusnahkan masa depan parti sendiri.

Berikutan perkembangan ini dan sebelum petualang lebih bebas bergentayangan dengan misi mereka meniupkan angin kehancuran, UMNO di bawah kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi wajar bertindak pantas dan tifak lagi berdiam diri.

Keputusan MT UMNO baru-baru ini yang sekadar mengambil ketetapan menarik sokongan secara serta-merta terhadap Mahiaddin Md Yasin sambil menggesa Perdana Menteri meletak jawatan dengan segera, jelas tidak memadai dan tidak menggoncang langsung kerusi yang didudukinya.

Setelah UMNO mengumumkan menarik sokongan, hanya seorang dua saja Ahli Parlimen yang berani secara terbuka memaklumkan mereka akur dengan ketetapan parti dan dengan itu tidak lagi menyokong Perdana Menteri.

Selebihnya hanya diam membatu, jauh sekali untuk berani melepaskan jawatan dan kedudukan dalam kerajaan.

Pihak yang menentang seterusnya tampil dengan pelbagai agenda untuk menggagalkan ketetapan MT itu sehingga ternampak kini yang bergoncang ialah UMNO dan bukannya Mahiaddin.

Walaupun ada pihak dalam UMNO mengatakan, keputusan menarik sokongan itu akan dapat dilihat hasilnya apabila Parlimen bersidang pada 26 Julai ini, namun apa jadi kiranya sidang lima hari itu nanti sekadar sesi taklimat serta ceramah daripada kerajaan kepada Ahli-Ahli Parlimen tanpa perbahasan, bertanya soalan dan undian?

Dalam masa yang sama, kiranya Mahiaddin tidak dijatuhkan dalam waktu yang dekat ini, kelompok kluster kabinet yang lebih sayang jawatan daripada perjuangan tentu saja akan terus menimbulkan perkara-perkara yang mampu mewujudkan kekeliruan dan kecelaruan dalam UMNO.

Akhirnya, sementara Mahiaddin mampu bertahan lebih lama, UMNO pula terus berpecah dan berantakan.

Pilihan di tangan UMNO kini hanya satu – bersama penarikan sokongan yang telah sedia ada, MT wajar membuat ketetapan tambahan dengan segera atau sebelum 26 Julai mengumumkan perletakan jawatan semua Ahli Parlimennya dalam kerajaan.

Dengan kegagalan Mahiaddin yang berterusan, tiada sebab lagi untuk UMNO terus menongkat kerusi yang didudukinya.

Jika mahu menjatuhkannya, lakukan dengan sungguh-sungguh, bukan hangat-hangat tahi ayam.

Dengan membuat ketetapan Ahli Parlimen UMNO mesti meletak jawatan bagi mengakhiri era kerajaan gagal lagi menyusahkan rakyat ini, mereka yang setia dan sayang kepada perjuangan parti pasti tiada masalah untuk akur kepada arahan tersebut.

Hanya mereka yang lebih sayangkan jawatan dan setia kepada kedudukan saja akan memilih untuk mengingkarinya, seterusnya sedia untuk berdepan tindakan disiplin atau memilih menjadi katak menyertai Bersatu.

Dengan cara ini saja UMNO dapat membendung amalan ketidaksetiaan yang semakin parah di kalangan pemimpinnya di mana ratib mereka adalah untuk perut dan jawatan saja dalam kehidupan.

Memberi lebih banyak masa berlalu akan hanya mendedahkan UMNO kepada perpecahan berbanding mencapai matlamat menumbangkan Mahiaddin. 


(ShahbudinHusin 13/07/2021)




No comments: