Sekarang bukan masa tarik balik sokongan, Tajuddin beritahu Umno


Tajuddin Abdul Rahman berkata, perhimpunan agung Umno memutuskan untuk menarik balik sokongan kepada kerajaan, bukan setakat Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

PETALING JAYA: Semua ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bersetuju menarik balik sokongan kepada kerajaan sedia ada, tetapi mereka tidak bersetuju melakukannya sekarang, kata ahli MKT, Tajuddin Abdul Rahman.

Tajuddin mengesahkan satu rakaman video di media sosial yang menunjukkan beliau tidak bersetuju dengan pucuk pemimpin parti adalah “tulen”.

Dalam rakaman hampir 15 minit itu, Tajuddin mempersoalkan sama ada langkah Umno menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional dilakukan pada “waktu yang betul”.

Tajuddin memberitahu FMT, beliau membuat ucapan berkenaan pada mesyuarat MKT minggu lepas yang memutuskan Umno menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan mahukan beliau meletak jawatan.

“Saya tak mahu apa ucapan saya pada mesyuarat itu didedahkan kerana itu apa yang saya katakan pada mesyuarat (tertutup). (Tetapi) ada orang merakam dan mendedahkannya kepada umum. Memandang ia sudah didedahkan, saya sahkan ia (rakaman itu) adalah tulen,” katanya.

Dalam video itu, Tajuddin memberitahu Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang beliau menyokongnya selama ini, tetapi “waktu ini, saya merayu untuk berbeza (pendirian)”.

Keputusan perhimpunan agung Umno

Menurut Tajuddin, beliau mengambil pendekatan berbeza itu kerana isu yang dibahaskan MKT itu bercanggah ketetapan Perhimpunan Agung Umno (PAU), Mac lalu.

Katanya, keputusan PAU adalah untuk Umno menolak DAP, PKR dan Bersatu.

“Mandatnya (juga) adalah untuk presiden dan ahli MKT memutuskan tarikh keluar daripada kerajaan.

‘”Kami setuju untuk tarik balik (sokongan). Siapa yang tak setuju tarik balik? Semua setuju. Ahli MKT Umno setuju, Ahli Parlimen Umno setuju.”

Tetapi, Tajuddin berkata, mereka tidak bersetuju untuk menarik balik sokongan kepada kerajaan “sekarang”.

“Ramai pihak yang merasakan sekarang bukan waktu sesuai (untuk tarik balik sokongan kepada kerajaan),” kata Ahli Parlimen Pasir Salak itu. Bagaimanapun, beliau akur, ada juga yang berpendirian sebaliknya.

Tidak bersedia untuk PRU

Tajuddin menegaskan, keputusan PAU adalah menarik balik sokongan terhadap kerajaan dan bukan setakat Muhyiddin.

“Sekarang (MKT ambil tindakan) berbeza. Ini adalah langkah taktikal kerana menarik keluar daripada kerajaan tidak boleh dilaksanakan. Ini tindakan memanipulasi keputusan PAU.”

Tajuddin turut memberi amaran Umno tidak bersedia menghadapi pilihan raya umum (PRU) dalam tempoh terdekat.

“Adakah kamu tahu status kawasan pilihan raya kita? Adakah kamu bersedia menghadapi pilihan raya? Saya nak beritahu, kamu (Umno) perlu setahun lagi untuk mengukuhkan jentera pilihan raya,” kata beliau.

Katanya, ahli Umno sibuk bercakap mengenai “parti, parti, parti, tetapi kerja tak berjalan”.

Beliau berkata, sekalipun Umno menarik balik sokongan kepada kerajaan PN, Bersatu berkemungkinan mendapat sokongan daripada DAP, yang “mungkin tidak akan menyertai kerajaan, tetapi akan menyokong, memberi undi kepada perdana menteri”.

Keputusan salah Umno

Tajuddin membayangkan Umno perlu waspada dalam mengatur strateginya setelah banyak membuat kesilapan sebelum ini.

Sebagai contoh, katanya, penyertaan Umno dalam kerajaan PN adalah suatu kesilapan dan “Muafakat Nasional yang ditubuhkan (bersama PAS) tidak dipupuk sebaiknya. Itu satu kesilapan. Kita mahu bekerjasama dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim – itu juga satu kesilapan”.

Katanya, beliau tidak lagi mahu mengikut arahan parti secara membuta tuli dan mendesak Umno menunggu “masa sesuai” keluar daripada kerajaan, selaras ketetapan PAU.

Beliau juga berkata, kebanyakan ahli MKT tidak mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri Yaakob atas pelantikannya sebagai timbalan perdana menteri.

Beliau juga meminta pimpinan dan akar umbi parti bersabar dan mengukuhkan jentera Umno terlebih dahulu untuk memenangi PRU.

No comments: