Krisis Perlembagaan berlaku jika Mahiaddin tidak berundur
Perdana Menteri (PM) Tan Sri Mahiaddin Yassin yang telah kehilangan majoriti di Parlimen tidak mempunyai ‘pilihan’ untuk melanjutkan kekuasaan.
Bagi Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen, sebarang alasan seperti suasana Darurat atau pandemik Covid 19 yang cuba dikemukakan oleh pihak penyokong PM tidak boleh diterima. Katanya, jika Mahiadddin tidak mahu berundur maka berkemungkinan krisis Perlembagaan akan berlaku pada waktu terdekat.
“Beliau sudah tidak mempunyai sokongan. Kita harus ingat kita mengamalkan sistem demokrasi. Ahli Parlimen perlu mengikut keputusan parti (seperti diumum Presiden Umno) kerana mereka bertanding atas tiket parti dan bukan secara individu,” katanya.
Menurut William lagi, alasan bahawa Ahli-ahli Parlimen Umno masih menyokong Mahiaddin tidak boleh dipertahankan kerana sehingga kini amat sedikit sekali yang mengeluarkan kenyataan secara terbuka menyokong beliau.
Namun, katanya, secara logik setiap Ahli Parlimen itu bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu di atas logo Umno maka keputusan parti haruslah menjadi keputusan mereka.
“Mereka bertanding pada PRU lalu atas nama parti, jadi tidak boleh berkata melihat individu sokong atau tidak. Semua Ahli Parlimen kena ikut perutusan parti (kenyataan Zahid Hamidi).
“Jadi keputusan Umno itu jelas menunjukkan Mahiaddin sudah hilang kepercayaan dan kredibiliti, berundurlah elakkan negara menghadapi masalah yang lagi besar,” katanya.
PM Mahiaddin teknikalnya tumbang pada 8 Julai lalu apabila Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu menarik sokongan dari kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Peguam Negara kemudiannya mempertahankan PN kekal berkuasa kerana mendapat sokongan dari Ahli-ahli Parlimen. Namun tidak sampai 10 Ahli Parlimen Umno yang secara terbuka mengisytihar masih menyokong PM, sedangkan yang lainnya dianggap mengikut keputusan Majlis Tertinggi Umno meninggalkan kerajaan.