TPM kata usah berpolitik: 'Halakan pesan itu kepada kawan-kawan PN' - Saifuddin Nasution

 


POSTED BY  AMIR WRLR

Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang baharu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mungkin mempunyai pemikiran cetek apabila berpesan kepada semua ahli politik agar tidak berpolitik dan menumpukan usaha membantu kerajaan menangani pandemik Covid 19


Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membidas kenyataan TPM itu menegaskan pandemik Covid telah masuk dua tahun dan kerajaan telah diberi peluang oleh Yang di-Pertuan Agong menerusi kuasa Darurat, namun rakyat masih tidak melihat hasilnya


"Dalam tempoh ini kerajaan boleh buat undang-undang tanpa perlu Parlimen. Parlimen ditutup. Tiada lagi semak imbang. Kerajaan boleh berbelanja tanpa perlu ke Parlimen.


"Kabinet dan Majlis Keselamatan Negara boleh buat apa sahaja. Rakyat hanya terima. Tak kira yang sokong atau tidak kena terima. Disuruh duduk rumah, tak boleh rentas negeri, daerah, tak boleh kerja, tak boleh balik beraya, tak boleh ziarah ibu bapa. Rakyat patuh," katanya dalam tulisan di Facebook.


Namun Saifuddin bertanya adakah peluang yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong, kakitangan kerajaan dan rakyat itu digunakan sebaik-baiknya oleh kerajaan Perikatan Nasional


"Apakah hasilnya?


"Kes positif harian meningkat. Kes positif petugas baris hadapan meningkat. Kes kematian meningkat. Katil hospital tak cukup. Tong oksigen tak cukup. Katil ICU tak cukup. Vaksinasi lembab tak capai sasaran dan ekonomi terus melemah.


"Manakala rakyat hilang kerja, hilang pendapatan. Anak-anak sekolah kelam-kabut dengan PdPR. Kes bunuh diri juga meningkat


"Ketika inilah tiba-tiba Umno tarik sokongan kepada PM. Dek tergugat dan bimbang hilang kuasa dan takut kerajaan tumbang, PM lantik Ismail jadi TPM dan Hisham menteri kanan!" katanya.


Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu meminta penjelasan adakah tindakan yang dilakukan oleh Umno menarik sokongan dari kerajaan PN bukan berpolitik?


Katanya, tindakan itu tidak ada kaitan dengan Covid 19 atau kelemahan ekonomi, melainkan politik survival Umno menuju Pilihan Raya Umum ke 15.


"Umno tarik sokongan tak ada kena mengena lawan Covid. PM lantik Ismail jadi TPM tak ada kaitan lawan Covid. Bahkan sekelumit pun tak ada faedah kepada rakyat. Ini hanyalah langkah PM nak selamatkan diri bukan selamatkan rakyat.


"Pesan saya kpd TPM : Halakan pesan anda kepada PM, rakan-rakan dalam PN dan yang seangkatan," bidas Saifuddin.




No comments: