“Ahli Parlimen Umno ni bodohkah tidak reti nak jaga parti?” – Tajuddin
Ahli Parlimen Umno tahu apa yang perlu
dilakukan apabila tiba masanya untuk mengundi usul pada sidang Parlimen akan
datang, kata Tajuddin Abdul Rahman menjawab gesaan kepada wakil rakyat supaya
ikut keputusan Majlis Kerja Tertinggi.
Pengarah
Pilihan Raya Umno itu berkata Ahli Parlimen parti Melayu itu tidak perlu
disuruh-suruh kerana mereka juga tahu bagaimana hendak menjaga kepentingan
Umno, selepas MKT mengumumkan ia menarik balik sokongan terhadap Perdana
Menteri Muhyiddin Yassin.
Setiausaha
Agung Ahmad Maslan baru-baru ini mengumumkan Ahli Parlimen Umno boleh
menggunakan budi bicara untuk mengundi nanti, namun menambah keputusan parti
mesti jadi panduan mereka.
“Saya tahu lah nak ikut macam mana. Apa? Ahli
Parlimen ni bodohkah tidak reti nak jaga parti? Nak ikut keputusan parti? Kita
tahulah,” katanya dalam temubual Utusan Malaysia.
Tajuddin
dipetik sebagai berkata setiap Ahli Parlimen mempunyai pendirian masing-masing
dan tidak perlu “dicatur” mana-mana pihak, walaupun terikat pada keputusan MKT.
Beliau
menarik perhatian kepada keputusan Perhimpunan Agung Umno 2020, yang menyatakan
“kita” tarik diri apabila Parlimen dibubarkan.
“Selagi tak dibubar, tak ada keputusan yang
memaksa,” katanya.
Tajuddin
berkata PAU juga membenarkan menteri dan timbalan menteri untuk terus bersama
kerajaan “buat sementara ini”.
“Jangan
marah mereka (menteri dan timbalan menteri Umno). Kalau masih lagi dalam
kerajaan, itu bermakna mereka berpegang kepada keputusan PAU. Tapi ada yang
desak supaya menteri, timbalan letak jawatan. Apa desak-desak?” katanya.
Beliau menambah sama ada langkah MKT Umno terhadap Muhyiddin berjaya atau sia-sia hanya boleh ditentukan Dewan Rakyat.