MENTERI PENGAJIAN TINGGI MASIH MAIN TIKTOK KE ?

 


Tolonglah ambil berat isu tekanan mahasiswa, rayu kesatuan pelajar





Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya menggesa Kementerian Pengajian Tinggi campur tangan serta memainkan peranan demi kesihatan mental mahasiswa.

PETALING JAYA: Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) meminta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memandang serius isu mahasiswa tertekan membabitkan kesihatan mental, termasuk tekanan menghadapi kelas dalam talian.

Menerusi surat terbuka kepada KPT, katanya, pembelajaran dalam talian dalam dua tahun ini susulan penularan Covid-19 memberi kesan mendalam terhadap kesihatan mental mahasiswa.

“Kesatuan berpandangan pihak berkaitan tidak perlu menidakkan suara mahasiswa yang mengutarakan isu ini. Mahasiswa berhak menyuarakan isu melibatkan nyawa mereka sendiri.

“Walaupun universiti mempunyai autonomi dalam membuat keputusan berkenaan tugas, ujian, peperiksaan dan hal ehwal akademik, kesatuan berpandangan KPT sebagai pihak lebih berautoriti seharusnya campur tangan serta memainkan peranan demi kesihatan mental mahasiswa memandangkan isu ini melibatkan nyawa.”

Kesatuan itu merujuk kes kematian pelajar institusi pengajian tinggi yang dipercayai berpunca daripada tekanan dan lambakan tugas diberikan dalam tempoh pendek.

Menerusi surat terbuka itu juga, KMUM membuat lima tuntutan kepada KPT untuk dipertimbangkan, antaranya mengurangkan beban kerja atau memanjangkan tarikh akhir penghantaran tugasan.

“(Juga) memberi tempoh bertenang untuk mahasiswa menyiapkan lambakan tugasan, selain pensyarah perlulah mengambil kira suara majoriti mahasiswa secara demokratik dalam membuat keputusan mengenai hal ehwal akademik, khasnya tugasan yang diberikan.

“Perwakilan mahasiswa universiti di seluruh Malaysia harus terus bersikap proaktif dalam menyuarakan isu ini ke peringkat pentadbiran universiti,” kata kesatuan itu.

Kumpulan itu juga menuntut semua lapisan masyarakat, termasuk kerajaan mengambil serius isu kesihatan mental mahasiswa ketika negara berdepan penularan Covid-19.

Sebelum ini, media melaporkan penuntut institusi pengajian tinggi awam meninggal dunia hingga menimbulkan persoalan berkaitan tekanan pembelajaran.

Penuntut terbabit sebelum itu dikatakan mengalami sakit kepala yang teruk dan muntah, sebelum tidak sedarkan diri di rumah yang disewa bersama rakannya.

Hari ini, seorang lagi pelajar dilaporkan meninggal dunia selepas mengadu sakit kepala malam tadi.

No comments: