Pemuda ini buat laporan polis terhadap Takiyuddin


Isu darurat: Pemuda ini buat laporan polis terhadap Takiyuddin

Kenyataan Media

1. Saya bersama dengan rakan-rakan Pemuda Pakatan Harapan hari ini telah membuat satu laporan polis ke atas Menteri Undang-undang, YB Takiyuddin Hassan berhubung kenyataan beliau berkenaan ‘nasihat’ kabinet kepada Yang Dipertuan Agong (YDPA) tentang kedudukan tempoh darurat. Turut membuat laporan adalah Ketua Pemuda AMANAH Melaka, Ustaz Muhammad Kamal serta Ahli Jawatankuasa Pemuda Pakatan Harapan, Sdr. Haziq Norizan dan Sdr. Shahrul Shahabudin.

2. Kami percaya bahawa kenyataan Takiyuddin itu telah menyimpang daripada Seksyen 2 (1) Ordinan Darurat (Kuasa Kuasa Perlu) 2021 yang memperuntukkan hendaklah ditubuhkan suatu jawatankuasa bebas untuk menasihati YDPA mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan, ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan berikutan wabak penyakit berjangkit iaitu Covid-19.

3. Lebih membimbangkan, kami khuatir kenyataan yang dibuat Takiyuddin sebagai salah satu cara menghasut orang ramai untuk bertindak pada YDPA sekiranya YDPA memutuskan sesuatu yang bertentangan atau tidak selari dengan kehendak kabinet yang dianggotai oleh Takiyuddin sendiri. Sekiranya wujud kecenderungan ke arah itu, ianya merupakan kesalahan jelas di sisi undang-undang dan kami gesa untuk Takiyuddin disiasat segera.

SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Ketua Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN)
Ketua Pemuda AMANAH Nasional

14 Jun 2021 | 4 Zulkaedah 1442H


No comments: