PELAN PEMULIHAN MAHIADDIN SUDAH TIDAK RELEVAN, KERAJAAN BAHARU LEBIH DIPERLUKAN

 

Setakat semalam, 13 Jun 2021, kes Covid19 di negara kita sudah mencecah angka 657,508 dan jumlah kematian pula seramai 3,908 orang.

Semalam juga angka kematian dicatatkan ialah 64 orang manakala jumlah kes sebanyak 5,304.

Dengan mengambil kira PKP pertama mula dilaksanakan pada 18 Mac 2020 dan sehingga kini negara kita masih terbelenggu dengan PKP penuh atau total lockdown, bermakna kita telah melalui pelbagai fasa PKP selama kira-kira 15 bulan lamanya.

Berdasarkan fakta bahawa PKP kali ini masih ada dua fasa lagi harus dilalui dan selepas itu mungkin diteruskan pula dengan PKPD, PKPB, PKPP dan entah apa-apa lagi, silap-silap sampai hujung tahun pun kita masih dibelenggu dengan kehidupan terkurung sebegini.

Rakyat terkurung bermakna pencarian rezeki mereka tersekat dengan sendirinya, tetapi Perdana Menteri dan menteri-menteri tetap mengaut habuan gaji lumayan setiap bulan.

Keadaan menjadi lebih buruk lagi kerana program vaksinasi terlihat begitu perlahan di mana hanya kira-kita 10 peratus rakyat sudah menerimanya setakat ini, sedangkan peruntukan yang diminta daripada tabung wang negara cukup besar iaitu sebanyak RM5 bilion.

Semalam juga, Perdana Menteri Mahiaddin Md Yasin mengumumkan kerajaan sedang merangka pelan pemulihan untuk keluar daripada pendemik Covid19 pada suatu jangka waktu yang munasabah yang tidak disebut tarikhnya secara tepat.

Katanya, pelan yang dibuat berdasarkan kepada data, sains dan segala persiapan yang telah dilakukan termasuk dari segi pengurusan Covid19, ekonomi, program vaksinasi dan sebagainya itu akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh seminggu akan datang.

Apa yang menjadi kemusykilan, mengapa hanya setelah lebih setahun berlalu dengan angka kes sudah melebihi 600 ribu dan kematian hampir 4,000, barulah kerajaan mahu merangka pelan pemulihan?

Selama ini Mahiaddin dan kerajaan buat apa?

Makan gaji buta?

Mengapa hanya setelah negara tinggal rangka dan ramai rakyat menjadi rangka, baru terfikir untuk merangka pelan pemulihan?

Tidakkah ini menunjukkan Mahiaddin dan kerajaan PN yang diterajuinya benar-benar telah gagal?

Apakah kerana Agong telah mengambil inisiatif menemui ketua-ketua parti untuk mendapatkan pandangan berkenaan Covid19 dan bakal memuktamadkan kesimpulan dalam mesyuarat khas Raja-Raja Melayu pada 16 Jun ini, maka ia terus merangsang sel-sel otak Mahiaddin bersambung untuk mampu berfikir lebih jauh bagi menangani wabak ini dengan lebih serius?

Apa jenis Perdana Menteri yang kita ada ini?

Tetapi, apa pun yang cuba dilakukan Mahiaddin ketika ini, semuanya sudah terlambat sebenarnya.

Mahiaddin telah gagal dan inisiatif Agong menemui ketua-ketua parti adalah gambaran sahnya kegagalan beliau mentadbir negara ini.

Dengan itu, bukan saja pelan pemulihan yang masih dirangkanya sudah tidak relevan, malah keberadaan beliau sebagai Perdana Menteri juga turut tidak relevan.

Oleh kerana Mahiaddin telah terbukti gagal, kerajaan PN yang dipimpinnya adalah kerajaan gagal, apa juga pelan pemulihan yang cuba dirangkanya, ia hanya akan menuju kegagalan.

Perdana Menteri yang gagal dan kerajaan yang gagal tidak mungkin berupaya menghasilkan apa-apa kejayaan dalam apa-apa pelan atau perancangan sekali pun yang cuba dirangkanya.

Perdana Menteri gagal dan kerajaan gagal memerlukan ia diganti dengan segera.

Itu saja jawapannya. Noktah. 

(ShahbudinHusin 14/06/2021)



No comments: