Jawatankuasa Khas Bebas Darurat bukan bawah kuasa Kabinet'-KHAS UNTUK LEBAI TAKIYUDDIN

 

Pakar perlembagaan, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof

Pakar perlembagaan, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof


ROHANIZA IDRIS-BH


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Bebas Darurat tidak terletak di bawah kuasa Jemaah Menteri atau Perdana Menteri, sebaliknya berdiri sendiri dan bertanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan nasihat yang terbaik, jujur dan tepat mengenai darurat.

Pakar perlembagaan, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata jawatankuasa itu juga bukan badan eksekutif dan legislatif, sebaliknya badan khusus yang ditubuhkan melalui Ordinan Darurat berpaksikan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

"Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, menyebut "maka hendaklah diwujudkan suatu jawatankuasa khas bebas untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong 

mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan, berikutan wabak penyakit berjangkit, iaitu Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)".

"Seksyen ini secara jelas memberi peranan kepada Jawatankuasa Khas Bebas Darurat untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong berkaitan tempoh darurat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu bagi mengulas kekeliruan banyak pihak mengenai kuasa Jawatankuasa Khas Bebas Darurat berikutan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa Jemaah Menteri akan menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam membuat keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat.

Muhammad Fathi berkata, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat penting bagi memastikan Darurat 2021 benar-benar dilaksanakan sesuai dengan maksudnya iaitu untuk menangani wabak COVID-19.

Katanya, penilaian yang dibuat oleh Jawatankuasa Khas Bebas Darurat perlulah berteraskan kepada fakta dan data secara jujur, komprehensif dan telus dengan oleh pihak yang berkelayakan dari segi kepakaran dan pengalaman serta mewakili semua pihak secara seimbang.

"Pembabitan anggota yang mempunyai pelbagai latar belakang termasuk wakil pembangkang dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ini menggambarkan konsep keseimbangan, ketelusan dan keterbukaan itu.

"Jawatankuasa ini juga berperanan sebagai satu elemen 'semak dan imbang' memandangkan kuasa darurat itu sendiri memberikan kuasa yang amat luas kepada pemerintah.

"Kewujudan jawatankuasa ini dapat mengurangkan risiko salah guna kuasa kerajaan menjadikan Proklamasi Darurat sebagai alat politik untuk mengekalkan kuasa," katanya

Menjelaskan lebih lanjut, katanya, Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara, yang turut memiliki beberapa kuasa budi bicara khusus dalam Perlembagaan Persekutuan, mempunyai peranan yang jelas untuk memastikan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat memberikan nasihat yang berwibawa sesuai dengan ketinggian martabat baginda sebagai payung utama rakyat.

"Oleh itu Jawatankuasa Khas Bebas Darurat perlu diberikan kebebasan dan kemudahan yang diperlukan untuk melaksanakan tugasnya termasuklah untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan rakyat agar nasihat yang diberikan benar-benar selari dengan kehendak rakyat dan keperluan sebenar negara demi menghadapi wabak COVID-19," katanya.

Beliau menegaskan Perdana Menteri dan Kabinetnya tetap mempunyai kuasa umum di bawah Perlembagaan dan di bawah kedudukannya sebagai badan eksekutif dalam tempoh darurat sebagaimana yang termaktub dalam Seksyen 11(a) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Bagaimanapun, katanya, peranan khusus untuk menentukan tempoh darurat terletak pada Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Jawatankuasa Khas Bebas Darurat.

 


No comments: