Laksana dua peringkat harga minyak sawit untuk 'situasi menang-menang' - Zawawi Mughni

 


Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Mughni berkata, kerajaan Perikatan Nasional seharusnya melaksanakan cadangan dua peringkat harga (2-tiered pricing) yang diutarakan oleh Setiausaha Agong KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution baru-baru ini bagi mengawal kenaikan harga minyak sawit botol.

Katanya, satu formula 'menang-menang' bagi pengguna dan peladang sawit perlu dirangka bagi menjaga kepentingan bersama.

"Bagi dua peringkat harga, antara langkah yang boleh diambil adalah bagi tujuan eksport harga minyak sawit dijual mengikut harga pasaran, manakala bagi tujuan domestik, Kerajaan boleh memperkenalkan harga yang lebih rendah.

"Dengan cara ini harga minyak masak tempatan akan menjadi lebih murah berbanding sekarang," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, Kerajaan pada hari ini berpandukan kaedah simulasi harga runcit minyak sawit bagi harga di atas “threshold” dalam menetapkan harga minyak masak bersubsidi.

Katanya, berdasarkan kaedah tersebut semua komponen kos diambil kira dan dianggap sama untuk pengeluaran minyak masak tanpa subsidi. Ini termasuklah harga minyak sawit RBD Olein, kos pengilang, margin keuntungan pemborong, margin keuntungan peruncit dan kos pentadbiran.

"Jika kaedah dua peringkat harga yang dicadangkan itu dilaksanakan, harga minyak masak 5kg boleh dijual paling mahal pada harga RM20 sebotol setelah mengambil kira semua kos yang terlibat.

"Sukacita ingin saya ingatkan Malaysia adalah antara negara pengeksport minyak sawit mentah dunia terbesar. Kita mengeksport 27 juta tan minyak sawit dan hanya 1 juta tan minyak sawit mentah yang digunakan untuk kegunaan tempatan.

"Jadi kegunaan domestik sebanyak 1 juta tan bagi minyak sawit mentah ini masih boleh ditawarkan pada harga rendah. Ia lantaran kenaikan harga minyak masak sudah ke tahap yang membebankan rakyat. Justeru, janganlah mendera rakyat lagi ketika pandemik dengan kenaikan ini," katanya lagi.

No comments: