PTPTN DULU PUN DIA TAK SELESAI LAGI..DIA BELAGAK NAK BAGI CADANGAN...LEKEH..

 



Saranan tetap tarikh akhir daftar vaksin seperti paksa, ugut rakyat, kata Puad




Puad Zarkashi berkata, Wan Saiful Wan Jan tidak boleh membuat andaian tidak tepat dengan mendakwa kadar pendaftaran perlahan akibat sikap sambil lewa rakyat.

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi menyifatkan cadangan menetapkan tarikh akhir pendaftaran vaksin Covid-19 sebagai satu bentuk paksaan dan ugutan.

“Maksudnya kalau tidak daftar juga selepas tarikh tutup, maka engkau punya pasal.

“Barangkali memang itu cara Perikatan Nasional (PN). Suka menghukum. Masalahnya menghukum cara separuh masak,” kata Puad dalam catatan di Facebook.

Cadangan itu disuarakan oleh Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan semalam yang menganggap ia boleh mencetuskan desakan untuk rakyat segera mendaftar bagi vaksinasi.

Saranan itu turut ditolak oleh beberapa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang menyifatkan cadangan menetapkan tarikh akhir sebagai “idea bodoh” kerana lebih 10 juta orang masih menunggu slot vaksinasi mereka.

Puad berkata, Wan Saiful tidak boleh membuat andaian tidak tepat dengan mendakwa kadar pendaftaran perlahan akibat sikap sambil lewa rakyat.

“Betulkah mereka sambil lewa? Jangan buat andaian. Ketua penerangan kena turun ke bawah. Kenapa hanya 7.6 juta daripada 26.7 juta mendaftar menerusi MySejahtera.

“Kalau rakyat Malaysia sambil lewa, kenapa mereka berebut bila kerajaan tawarkan vaksin AstraZeneca?” soalnya.

Mengenai kenyataan Wan Saiful berhubung kerajaan dan NGO boleh digembleng untuk menjayakan kempen pendaftaran vaksinasi, Puad berkata, idea itu menunjukkan jentera Bersatu di lapangan sebenarnya tidak wujud.

“Kenapa mesti tunggu ada tarikh tutup? Agensi kerajaan termasuk jentera penerangan Bersatu tidak boleh buat sekarang ke?

“Ataupun jentera penerangan Bersatu memang tidak wujud di akar umbi. Tak ada orang.”