Oleh Ghafar NS
Semalam, Bloomberg melaporkan kepada dunia bahawa Malaysia telah jatuh ke tangga ke-51 daripada 53 negara dengan nilai ekonomi berjumlah lebih AS$200 bilion dalam Tahap Ketahanan Covid-19 Bloomberg untuk bulan Jun 2021.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, semasa darurat diisytiharkan pada 11 Januari dengan alasan untuk melawan Covid-19, kita berada di kedudukan ke-16 dalam Tahap Ketahanan Covid-19 Bloomberg.
“Selepas lima bulan darurat dan 28 hari sekatan pergerakan penuh, kita telah jatuh 35 anak tangga ke tangga ke-51 dalam carta terkini untuk bulan Jun 2021.
“Ini adalah keputusan paling memalukan #KerajaanGagal Muhyiddin dalam perang melawan Covid-19,” kata Veteran DAP itu.
Kit Siang turut mengulas bantuan PEMULIH bernilai RM150 bilion yang diumumkan Muhyiddin Yassin semalam sebagai satu strategi dan gimik lama yang tidak berkesan untuk melawan Covid-19.
“Kabinet yang bermesyuarat esok harus memutuskan untuk mengadakan sidang Parlimen sebelum 1 Ogos untuk menerajui gabungan ‘Menang Perang Melawan Pandemik Covid-19’,” tambah Kit Siang lagi.