Chua Wei Kiat Ketua Pemuda PKR Selangor baharu

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang, Chua Wei Kiat, dilantik mengetuai Pemuda PKR Selangor.

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang, Chua Wei Kiat, dilantik sebagai Ketua Pemuda PKR Selangor berkuatkuasa hari ini, menggantikan Najwan Halimi yang dipecat daripada jawatan itu semalam.

Setiausaha Pemuda PKR, Syukri Razab, dalam kenyataan berkata sehubungan itu satu jawatankuasa penuh Pemuda negeri akan diumumkan Chua selepas proses perbincangan dibuat bersama ketua-ketua Pemuda bahagian.

Syukri berkata, pelantikan itu hasil rundingan antara Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir bersama ketua-ketua Pemuda bahagian Selangor.

Pertemuan secara maya itu dihadiri 18 ketua-ketua Pemuda bahagian yang sah dan rasmi di Selangor berdasarkan rekod Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda PKR Bahagian (MATAMKC) 2020.

“Tujuan pertemuan ini juga adalah bagi mendengar pandangan dan maklum balas di samping untuk Ketua Pemuda PKR memberikan penjelasan mengenai keputusan serta hala tuju Pemuda.

“Seramai enam nama dikemukakan sebagai calon Ketua Pemuda PKR Selangor dan diberikan pertimbangan sewajarnya oleh Ketua Pemuda PKR,” katanya.

Syukri berkata, Pemuda PKR yakin pelantikan Chua mampu memperkukuh kedudukan Pemuda Selangor, justeru pihaknya menyeru seluruh anggota memberikan kerjasama dan sokongan padu kepada beliau.

Semalam, Najwan mengesahkan beliau dipecat sebagai Ketua Pemuda PKR Selangor.

Beliau yang juga ADUN Kota Anggerik memaklumkan menerima surat pemecatannya pada 11 pagi yang berkuatkuasa serta-merta.

“Saya terima surat tapi bukan pemecatan daripada parti tapi pemecatan jawatan Ketua Pemuda PKR negeri daripada setiausaha pusat,” katanya.

No comments: