AMK Selangor bantah pengguguran Najwan, anggap keputusan dibuat secara semberono


Astro Awani
AMK Selangor bantah pengguguran Najwan, anggap keputusan dibuat secara semberono
AMK Selangor menzahirkan solidariti dan dukungan penuh kepada Najwan Halimi (gambar). - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor membantah sekeras-kerasnya keputusan menggugurkan Najwan Halimi dari mengetuai sayap pemuda PKR negeri itu.
Dalam satu kenyataan, 14 Ketua Cabang AMK dan tiga Timbalan Ketua AMK Selangor menganggap keputusan itu dilakukan secara tergesa-gesa, semberono dan tanpa sebarang konsesus pimpinan AMK negeri itu.
"Sepanjang tempoh lebih dua tahun beliau memimpin AMK Negeri Selangor, Najwan Halimi telah mempamerkan kepimpinan yang cemerlang serta berperanan penting dalam menyatupadukan anggota AMK yang berpecah belah pasca Langkah Sheraton.
"Beliau juga telah memastikan pandangan, cadangan serta suara anggota akar umbi di Negeri Selangor diperjuangkan di peringkat yang lebih tinggi serta ditangani dengan baik.
"Justeru, kami menzahirkan solidariti dan dukungan penuh kepada Najwan Halimi serta menuntut Ketua AMK Malaysia agar menarik semula keputusan beliau semalam dan mengekalkan kedudukan Najwan Halimi sebagai Ketua AMK Negeri Selangor demi memastikan kestabilan sayap pemuda Keadilan serta untuk mengelakkan perpecahan dalaman parti," kata kenyataan tersebut.
Kesemua 17 pimpinan cabang AMK Selangor itu juga menyatakan sokongan serta kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada Isnin, menerusi satu surat yang ditandatangani oleh Setiausaha AMK Ahmad Syukri Che Ab Razab memaklumkan pemecatan pemimpin sayap pemuda PKR itu.
Manakala AMK Selangor dan Perlis pula dibubarkan dan Ahmad Syukri menambah dalam surat itu bahawa Ketua AMK, Akmal Nasir akan melakukan rundingan untuk melantik kepemimpinan baharu di Selangor dan Perlis.