PETALING JAYA: Polis memberi amaran akan terus mengeluarkan kompaun kepada individu yang menyertai perhimpunan haram “Black Democracy” (BD) di Perlis untuk membantah pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Ketua Polis Perlis, Surina Saad berkata, hasil risikan setakat ini mendapati tiada perhimpunan BD cuba diadakan di negeri itu tetapi pihaknya bersama anggota keselamatan agensi lain akan meningkatkan pemantauan terhadap pematuhan SOP.
“Jika ada yang didapati masih mengikuti perhimpunan berkenaan, kita akan kompaun mereka kerana melanggar SOP berhimpun.
“Namun jika ada kesalahan jenayah pula, mereka akan ditahan dan dituduh mengikut kesalahan jenayah,” katanya menurut laporan Berita Harian malam tadi.
Kelmarin, polis dilaporkan akan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur dan peserta perhimpunan itu selepas tular satu klip video mengajak orang ramai berhimpun menerusi “operasi” BD di beberapa lokasi di seluruh negara pada 12 tengah hari ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Zainal Abidin Kasim dilaporkan berkata, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap individu yang dikesan melanggar SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.