Pemilihan UMNO ditangguhkan selama 18 bulan - Ahmad Maslan Astro Awani Jun 29, 2021

 

Pemilihan UMNO ditangguhkan selama 18 bulan - Ahmad Maslan


Kata Ahmad, UMNO tidak pernah melaksanakan mesyuarat dan persidangan dengan pemilihan secara dalam talian di semua peringkat. - Gambar fail/UMNO ONLINE


KUALA LUMPUR: Pemilihan jawatan UMNO di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) ditangguhkan selama 18 bulan bermula 30 Jun 2021.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan itu adalah selaras Perlembagaan UMNO Fasal 10.16 iaitu “Majlis Kerja Tertinggi berhak menangguhkan pemilihan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi, Bahagian dan Cawangan".

Jelasnya, penangguhan itu tidak boleh lebih daripada lapan belas bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan.

"Pada 30 Jun 2021 ini genap 3 tahun pemilihan UMNO dan UMNO sepatutnya dalam keadaan biasa perlu membuat pemilihan semula. Namun, Mesyuarat MKT sebelum ini menetapkan agar parti merujuk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) bagi mendapatkan panduan kerana negara dan rakyat sedang menghadapi pandemik COVID-19.

"Saya telah menemui dan menulis surat kepada Ketua Pengarah, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain menulis kepada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung perkara berkenaan.

"Surat-surat jawapan telah diperolehi daripada KP KKM bertarikh 10/5/21, KP ROS bertarikh 2/6/21 dan MKN bertarikh 11/6/21. Inti pati surat jawapan daripada KKM dan MKN mencadangkan agar mesyuarat dan pemilihan UMNO dibuat secara dalam talian. Namun, disebut dalam surat KKM dan MKN juga sekiranya tidak boleh dibuat secara online, maka pemilihan perlu ditangguhkan hingga ke satu tarikh dan keadaan bila pandemik COVID-19 adalah terkawal," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kata Ahmad lagi, UMNO tidak pernah melaksanakan mesyuarat dan persidangan dengan pemilihan secara dalam talian di semua peringkat.

Oleh itu jelasnya, kekhuatiran berlaku kesilapan teknikal yang tinggi dengan kesukaran liputan internet di kawasan luar bandar adalah suatu masalah yang benar.

"Sayugia diingatkan bahawa terdapat 66,287 mesyuarat dan pemilihan yang perlu diadakan melibatkan kehadiran seramai 3.3 juta ahli UMNO iaitu cawangan (21,135 mesyuarat), Wanita cawangan (21,058 mesyuarat), Pemuda cawangan (15,496 mesyuarat), Puteri cawangan (8,598 mesyuarat) dengan jumlah besar 66,287 mesyuarat.

"Terdapat juga 764 persidangan perwakilan bahagian yang terdiri daripada 191 persidangan untuk setiap empat peringkat di Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri. Semua ini mesti dijalankan secara serentak dalam tempoh dua hujung minggu.

"Tentunya sukar persidangan perwakilan bahagian empat peringkat diadakan secara serentak dalam keadaan wujudnya kawasan yang dikenakan PKP atau PKPB atau PKPD," jelasnya.

Walaupun demikian ujar Ahmad, mesyuarat Cawangan, Bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO 2021, tanpa diadakan pemilihan dengan kehadiran hanya 1/4 korum (25 peratus kehadiran) masih perlu dibuat termasuk secara dalam talian.

"Ini untuk memenuhi prosedur tahunan pertubuhan. Jika ada pemilihan, tentunya tidak boleh syarat 1/4 kehadiran itu dipakai kerana semua ahli seramai 3.3 juta orang mempunyai hak untuk mengundi.

"Cadangan oleh Mesyuarat Pengurusan yang telah dibentang dalam Mesyuarat MKT, untuk tarikh Mesyuarat Cawangan empat peringkat (tanpa pemilihan) hendaklah diadakan pada 15 Ogos sehingga 30 September 2021.

"Mesyuarat ini boleh diadakan dengan kehadiran hanya 1/4 (25 peratus) daripada jumlah ahli dengan kaedah maya jika kawasan Cawangan itu mempunyai liputan internet. Di kawasan luar bandar tanpa internet, bolehlah diadakan secara bersemuka, jika dibenarkan oleh SOP," jelasnya.

Namun katanya, jika tidak boleh mengadakan mesyuarat kerana halangan SOP dan halangan liputan internet, kebenaran hendaklah dipohon kepada Ibu Pejabat UMNO yang akan mendapatkan persetujuan daripada RoS.

 

No comments: