Pandemik Covid 19 memberi tekanan yang tersendiri bukan sahaja
kepada barisan hadapan tetapi juga para guru.
Sempena Hari Guru yang disambut hari ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mahu masyaralat membantu para guru dalam menghadapi cabaran semasa dan mengekalkan ketenangan serta ketenteraman dalam runag lingkup kerjaya mereka.
"Ketenangan yang semakin berkurang membawa kepada tekanan yang meningkat dalam pelbagai aspek kehidupan kita. Perkara ini bukanlah suatu yang asing malah ia melibatkan pelbagai lapisan masyarakat kita saat ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Amirudin, dalam suasana yang tidak menentu ketika ini para guru tetap terpaksa meneruskan usaha mendidik anak bangsa.
Katanya, tanpa didikan para guru, sebaik mana pun potensi seorang kanak-kanak tidak mungkin bakatnya dapat digilap dan menjana pembangunan masa hadapan negara.
Oleh itu, kata Amirudin, kebajikan para guru dan ketidaktentuan sistem pendidikan harus menjadi tumpuan utama kerajaan dan masyarakat.
"Tekanan yang dilalui para guru kita tidak boleh diabaikan dan wajib diperbaiki bersama-sama tanpa mempolitikkan sistem dan hala tuju pendidikan negara.
"Guru-guru turut menghadapi situasi yang sama seperti masyarakat lain; cabaran masyarakat berusia ataupun 'ageing society' dengan menjaga ibu bapa serta anak-anak, serta turut mengalami tekanan emosi dan kewangan.
"Faktor-faktor ini sudah pasti menyumbang kepada keresahan dalam kalangan tenaga pengajar sehingga boleh menyebabkan perkara-perkara yang memberi impak kepada pelajar seperti yang kita lihat dalam kes berkait Ain Husniza Saiful Nizam yang viral di Tik Tok.
"Jika guru-guru diabaikan, adakah wajar untuk kita mengharapkan keperluan, keselamatan dan kebajikan pelajar kita turut dipelihara?" tanyanya.
Tegas Amirudin, para guru merupakan aset yang paling bernilai dalam memajukan negara dengan menghasilkan generasi muda yang berakhlak, berketrampilan dan berwawasan.
Katanya, pada waktu negara sedang berhadapan dengan krisis ekonomi dan kesihatan, tanggungjawab pemimpin negara adalah mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh masyarakat dan perkhidmatan awam.
"Usaha sebegini akan dapat memberi nafas baharu supaya kerjaya seorang guru mencapai apa yang diungkapkan oleh Abraham Lincoln sebagai 'the better angels of our nature’.
"Kata-kata Lincoln dalam usaha mendamaikan kerenggangan di Amerika Syarikat harus menjadi dorongan kita dalam usaha memulihkan situasi negara kita termasuk masa hadapan sistem pendidikan, negara bagi manfaat para guru dan pelajar kita," katanya lagi.
Justeru, beliau mengucapkan Selamat Hari Guru kepada petugas barisan hadapan pendidikan negara.