13 penunjuk perasaan ‘kerajaan gagal’ bebas dengan jaminan polis

 

Penunjuk perasaan membakar suar dan memegang kain rentang ‘kerajaan gagal’ dalam himpunan di Batu Pahat Khamis lalu.

PETALING JAYA: Seramai 13 individu yang ditahan sejak Khamis lalu kerana disyaki terbabit dalam himpunan “kerajaan gagal” di Parit Raja, Batu Pahat, Johor dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Ismail Dollah berkata, semuanya dibebaskan kira-kira 11.30 pagi tadi, selepas pegawai penyiasat selesai melakukan siasatan.

Katanya, tujuh lagi ditahan sehingga esok bagi membantu siasatan.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 144, 269 dan 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 8 Akta Bahan Letupan (1957),” katanya dalam kenyataan hari ini yang dilaporkan Bernama.

Beliau berkata, mereka bakal disiasat atas kesalahan di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) (Pindaan) 2021 dan Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Khamis lalu, polis menahan 20 penduduk tempatan berusia 16 hingga 28 tahun yang dipercayai terlibat dalam perhimpunan membabitkan pembakaran suar dan menaikkan kain rentang “kerajaan gagal” di Parit Raja.

Terdahulu, sebuah kumpulan terdiri daripada 36 NGO dan parti politik menggesa kerajaan segera membebaskan 20 individu itu dan menghentikan intimidasi terhadap anak muda itu yang hanya melaksanakan hak bebas bersuara dan berhimpun di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Kejadian ini yang dilabel sebagai rusuhan oleh pelbagai pihak sebenarnya adalah acara tahunan yang digerakkan anak muda Parit Raja, yang tidak pernah diambil tindakan oleh pihak berkuasa sebelum ini,” kata kumpulan itu.

No comments: