By
-
16 May 2021
Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd
Harun
KUALA LUMPUR – Wanita Keadilan hari ini menuntut Menteri Wanita,
Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun memberi penjelasan
berhubung pemberian vaksin Covid-19 kepada warga emas khususnya yang berada di
pusat jagaan di seluruh negara.
Pengarah Komunikasinya, Loh Ker Chean melahirkan kebimbangannya
susulan tindakan Rina sejak kebelakangan ini tidak mencerminkan kesungguhannya
menjaga kebajikan rakyat berbanding agenda peribadi yang semakin ketara.
“Menteri dan Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat
seharusnya membela nasib golongan rentan, adakah mereka telah membuat terbaik
dalam usaha melambatkan jangkitan wabak Covid-19 dalam kalangan warga emas.
“Yang jelas dapat dilihat peranan Rina pada waktu ini menjadi
model majalah dan kini menjadi pelakon? Timbalan Menteri KPWKM pula membisu,”
katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 4 Mac lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor
Hisham Abdullah mendedahkan kadar kematian dalam kalangan penghuni pusat jagaan
warga emas agak tinggi iaitu 1.48 peratus berbanding kadar kematian kebangsaan
0.38 peratus.
Menurut Dr Noor Hisham, seramai 610 penghuni di pusat jagaan
warga emas sudah dijangkiti wabak Covid-19.
“Keresahan dan kemurungan yang dihadapi oleh penghuni warga emas
di pusat jagaan semakin meningkat kerana berlakunya pengasingan diri dan
penjarakan fizikal dalam jangka panjang akibat penularan wabak Covid-19.
“Oleh yang demikian, penghuni warga emas kekurangan akses kepada
maklumat luar dan peluang bagi berjumpa dengan ahli keluarga dan rakan.
“Tambahan pula, isu kekurangan peralatan perlindungan peribadi
(PPE) asas bagi pekerja penjagaan juga merupakan salah satu punca golongan
warga emas mudah terdedah kepada jangkitan Covid-19,” katanya.
Susulan itu, Ker Chean meminta Rina menjelaskan sejauh mana
tindakan mitigasi diambil untuk memelihara kesihatan mental warga emas
terutamanya penghuni di pusat jagaan orang tua sejak negara dilanda Covid-19.
“Adakah Rina memastikan penjaga atau kakitangan di setiap pusat
penjagaan warga emas di negara ini dibekalkan PPE yang mencukupi dan digunakan
mengikuti panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) bertarikh 4 November 2020?”
katanya.
Dalam pada itu, sejauh mana Rina memohon Jawatankuasa Khas
Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) mengutamakan institusi penjagaan
warga emas dan memberi kemudahan kepada pasukan perubatan bergerak untuk
memberikan suntikan vaksin.
“Adakah Rina telah mengaktifkan Unit Komunikasi Korporat(UKK)
dalam kementerian atau memohon kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia dan Jabatan
Komunikasi Komuniti (J-Kom) yang menjaga komunikasi dua hala bagi menyampaikan
kesedaran pendaftaran vaksin kepada warga emas secara strategik?
“Adakah Rina telah memohon JKJAV bagi memastikan pemakluman
jadual temujanji vaksin dijalankan melalui panggilan telefon memandangkan
kebanyakan warga emas kurang peka penggunaan SMS dan amalan semak aplikasi
MySejahtera?” soalnya.
Beliau turut mempersoalkan sejauh mana angka-angka kes kematian
warga emas akibat Covid-19 dalam kaca mata Kabinet Perikatan Nasional (PN)
hanya sekadar soalan matematik tanpa nyawa.
“Semua pihak telah memberi semua kemudahan termasuk proklamasi
darurat yang dituntut oleh Kabinet PN dan mempunyai kuasa mutlak bagi memerangi
Pandemik Covid -19 dan memimpin rakyat ke arah pemulihan pasca – pandemik.
“Apa lagi Kabinet ini mahu daripada rakyat jika mereka sendiri
yang gagal? Rina dan Siti, sila memohon maaf kepada ahli keluarga kepada
mendiang mangsa warga emas Covid-19 dengan segera dan berundur,” katanya
lagi. MG