MENYANGGAH NIK ABDUH, SEBAB ITU JANGAN KITA BERI DERMA MELALUI TIN MILO

 

Ahli Parlimen Bachok, Nik Abdul Nik Abdul Aziz meminta orang ramai yang menderma kepada Tabung Palestin agar jangan memikirkan sama ada derma yang mereka beri itu sampai atau sebaliknya.

Katanya, jangan sibuk bertanyakan soalan yang sukar kerana sebaik saja wang berpindah tangan, pahala jihad di akhirat sudah pun diperolehi.

“Jangan sibukkan diri bertanya hal yang sukar.

“Palestin ini bumi jihad dan perang, rukunnya lakukan saja dan jangan cakap banyak,” ujar beliau dalam catatan di laman sosialnya.

Walaupun apa yang diperkatakan oleh Nik Abduh itu mungkin mudah diterima dan dianggap benar oleh sesetengah orang, tetapi saya secara umum menyanggah hujah AJK Pas Pusat tersebut.


Memang menderma dan bersedekah merupakan perkara baik dan dikira jihad dalam konteks Palestin khususnya, tetapi Tuhan juga memberi kita otak untuk berfikir dan menggunakan akal dalam memberi derma agar matlamat baik kita tidak diambil kesempatan oleh orang lain.

Dalam dunia ini ada manusia baik ada manusia jahat, ada manusia jujur dan ada manusia yang memangnya kerjanya suka mengambil kesempatan.

Sebab itu, dalam memberi derma untuk Palestin ini, memberinya kepada badan yang bertauliah adalah logik akal yang paling asas harus diambil oleh setiap orang.

Jangan sesekali kita memberi derma kepada NGO yang entah apa-apa yang tidak pernah didengar namanya sebelum ini, atas nama parti atau melalui individu-individu yang kini mula berkeliaran dengan tin milo atau kotak di depan bank, pasar malam atau tempat-tempat tumpuan ramai yang lain.

Memberi derma kepada badan atau pihak tidak bertauliah itu lebih memungkinkan ia tidak sampai ke Palestin seperti niat kita mendermanya.

Lagi pun, kalau kita rajin berfikir sejenak, bagaimanakah mereka itu menghantar sumbangan yang dikutip ke Palestin?

Lebih daripada itu, ia juga seperti memberi ruang kita diperbodohkan oleh pihak yang suka mengambil kesempatan dalam kesempitan pihak lain serta menggalakkan lagi mereka itu melakukannya di waktu-waktu lain.

Bukan tidak biasa, malah sudah kerap kita didedahkan dengan berita mereka yang mengambil kesempatan itu melakukan kerja jahat demi mengaut keuntungan peribadi semata-mata.

Maka, apakah kita mahu niat baik kita diambil kesempatan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab itu?

Jalan paling selamat ialah mendermanya kepada badan yang bertauliah yang perbelanjaan mereka diaudit setiap tahun, lagi pun nama-nama badan bertauliah itu bersepah-sepah ada di pelbagai jenis media.

Menderma untuk Palestin atau tujuan-tujuan apa saja sama juga seperti kita melakukan aktiviti lain dalam hidup iaitu hendaklah sentiasa menggunakan akal fikiran yang diberi Tuhan.

Kalau ada orang yang berniat jahat boleh menggunakan akal mereka untuk mengaut keuntungan peribadi dengan mengambil kesempatan atas nama Palestin atau lain-lain tragedi, bukankah kita yang mempunyai niat baik, malah mungkin juga merupakan golongan yang baik jika dibandingkan dengan mereka yang mengambil kesempatan itu, seharusnya menjadi lebih bijak atau memikir ke depan dalam menggunakan otak kita?

Bagaimana dunia ini mahu berubah menjadi lebih jika orang baik yang menderma pun malas menggunakan otak, tetapi orang jahat sentiasa licik berfikir menggunakan otak mereka?


 (ShahbudinHusin 16/05/2021)